Categories
SELANGOR

Arah pindah premis sarang burung walit tepat demi kesihatan masyarakat

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 DIS: Keputusan Kerajaan Selangor mengarahkan pemilik sarang burung walit yang beroperasi di kawasan premis perniagaan di negeri itu berpindah ke kawasan pertanian dalam tempoh tiga tahun adalah tepat demi kesejahteraan masyarakat sekeliling.

Ahli Majlis Perbandaran Klang, Azmizam Zaman Huri, berkata keputusan Kerajaan Negeri itu dinanti-nantikan kerana penduduk sekitar yang tinggal di kawasan itu sudah hidup lama ‘merana’ kerana pencemaran dari industri itu.

azmizam luar pc 01“Menurut penduduk, bunyi bising yang dikeluarkan dari industri mengganggu ketenteraman penduduk yang saban hari terpaksa berhadapan dengan situasi itu,” kata beliau.

Katanya, kolam air yang dibina juga berbahaya kepada penduduk kerana membiak jentik-jentik nyamuk Aedes yang boleh mengancam kesihatan masyarakat sekitar kawasan itu.

“Kerajaan Negeri juga perlu memikirkan kaedah terbaik agar kebajikan pengusahan sarang burung walit itu dijaga kerana bukan mudah untuk mereka terus berpindah ke kawasan pertanian bagi mencari lokasi yang sesuai,” kata Azmizam ketika dihubungi Selangor Kini.

Katanya, premis sarang burung walit di kawasan perumahan dan premis perniagaan juga mencacatkan pemandangan kawasan sekitar kerana keadaan premis itu sendiri.

Azmizam berkata, tempoh tiga tahun seperti yang ditetapkan Kerajaan Negeri untuk pemilik sarang burung walit berpindah adalah tempoh mencukupi.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu memikirkan premis perniagaan sarang burung walit yang dikosongkan tidak terbiar begitu sahaja sehingga mengundang premis itu disalah gunakan untuk kegiatan tidak bermoral dan mencacatkan pemandangan.

Sementara itu menurut tinjauan yang dilakukan Malaysiakini mendapati sebahagian rakyat di Selangor bersetuju dengan arahan Kerajaan Selangor itu yang kerana masyarakat sekeliling menerima kesan negatif daripada industri sarang burung walit di kawasan premis dan perumahan.

Penduduk yang ditemui berkata bunyi bising mengganggu ketenteraman mereka kerana bunyi yang dikeluarkan daripada premis sarang burung walit dan mendatangkan bau busuk. (Video : http://www.kinitv.com/video/3056O74)

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata arahan pemindahan lokasi pengusaha burung walit ke kawasan berstatus tanah pertanian dilakukan kerajaan negeri bagi menyelaras penempatan sangkar burung itu.

Garis panduan berkenaan diputuskan ekoran terdapat aduan daripada penduduk setempat yang tidak selesa dengan penempatan sangkar burung walit di kawasan perumahan serta komersial.

burung walitBaru-baru ini Kerajaan Negeri memperkenalkan Peraturan Kecil Penternakan Burung Walit dan Pengeluaran Sarang Burung Walit 2013.

Peraturan baru itu mengarahkan pengusaha berkenaan untuk berpindah ke kawasan berstatus tanah pertanian dalam tempoh tiga tahun.

Kerajaan negeri tetap mengekalkan arahan pemindahan dalam tempoh tiga tahun kerana menyifatkan tempoh masa itu bersesuaian dan munasabah.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.