Categories
SELANGOR

Azmin: Cegah Denggi perlu kerjasama semua

Oleh : Lizawati Madfa

GOMBAK 21 DIS : Wabak demam denggi perlu ditangani secara kolektif dan bukannya sekadar berharap kepada jabatan kesihatan, pihak berkuasa dan wakil rakyat sahaja, kata Azmin Ali.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, masyarakat juga memainkan peranan besar dalam memastikan langkah-langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan.

Azmin denggiAntaranya, beliau berkata, masyarakat perlu memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program Communication for Behavioral Impact (Combi) yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

“Tanpa kerjasama erat penduduk, adalah mustahil untuk Combi berjaya dan seterusnya memberi kesan tidak baik untuk komuniti yang kita diami.

“Selain itu, kami juga menyeru agar sesiapa yang mengalami simptom denggi supaya terus membuat pemeriksaan terperinci kerana pengesanan awal denggi sangat penting, jangan tunggu-tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Kesedaran Wabak Denggi Parlimen Gombak di Apartment Casmaria pagi tadi.

Turut hadir ialah kesemua wakil rakyat dalam Parlimen Gombak iaitu Hasbullah Mohd Ridzwan (Gombak Setia), Saari Sungib (Hulu Kelang) serta Amirudin Shari (Batu Caves).

Dalam pada itu, Azmin turut mengumumkan untuk memberi sumbangan RM 5,000 kepada Persatuan Penduduk Apartment Casmaria bagi tujuan penyelenggaraan.

denggi edit“Kita faham kos mereka agak tinggi kerana mereka perlu menggunakan kren bagi membersihkan tempat pembiakan (denggi) di tingkat tiga dan empat.

“Bantuan seperti ini juga akan disusuli di kawasan lain yang menjadi lokaliti panas kes denggi, bergantung kepada keperluan,” katanya lagi.

Apartment Casmaria merupakan antara tiga lokaliti di kawasan Gombak sementara jumlah keseluruhan di seluruh Selangor ialah 45 lokaliti.

Sehingga pertengahan Disember 2013, terdapat sebanyak 21, 138 kes dilaporkan di seluruh Selangor dengan 20 kematian.

Jumlah ini dilihat sebagai peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan statistik tahun lepas yang sekadar mencatatkan 8, 097 kes dengan 12 kematian.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.