Categories
BERITA UTAMA

The Heat: Menunggu bukti Gred A dari KDN

Oleh: Edwin Michael

MEDIA di negara ini sebenarnya berada dalam persimpangan yang amat bahaya.

Mahu tak mahu harus mengikut hawa nafsu regim pemerintah dengan melaporkan hanya perkara yang baik belaka tentang regim pemerintah, demi menghasilkan imej Perdana Menteri yang positif tetapi palsu.

Agenda inilah yang dimainkan oleh media perdana di negara ini selama lebih 50 tahun. Tetapi jika media memilih untuk tidak bersubahat dengan regim pemerintah, maka media tersebut akan dihukum seperti apa yang terjadi kepada The Heat.

theheatSaya tidak berminat mengulas panjang tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini yang nyata bersifat autokratik serta gagal merentasi sempadan politik yang waras dan demokrasi.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah atas asas apa penggantungan The Heat ini dibuat?

Walaupun KDN memberikan satu alasan yang lapuk kononnya penggantungan The Heat adalah kerana syarikat penerbitan tersebut melanggar peruntukan termaktub di bawah permit percetakan, usaha membodohkan rakyat dengan alasan sedemikian adalah satu kegagalan epik KDN yang hanya mengaibkan diri sendiri.

The Heat menyiarkan artikel  perbelanjaan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penggunaan jet kerajaan oleh isterinya di kala rakyat derita menghadapi kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, akibat kabinet menteri yang lembik dalam menangani korupsi dan ketirisan (mohon kabinet menteri disuntik dengan Viagra politik).

Apabila diteliti penerbitan artikel berkenaan, nyata artikel tersebut ditulis berdasarkan fakta dan sumber yang betul.

Kini, beban bukti beralih kepada KDN yang diterajui oleh Menteri Gred A serta Pejabat Perdana Menteri.

Mohon KDN bekalkan bukti Gred A untuk membuktikan bahawa apa yang disiarkan dalam The Heat ini adalah fitnah belaka dan bersifat mahu mencemar “dua jasa baik” isteri Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia sebelum ini.

Andai kata KDN tidak berdaya untuk membuktikan The Heat salah, maka mohon pula isu ini dibawa ke Makmal Kaji Kos Sara Hidup Rakyat untuk mengkaji bagaimana perbelanjaan kabinet menteri dan isteri Perdana Menteri boleh dipotong demi survival ekonomi negara ini.

Jika ada menteri yang tidak suka cadangan ini, mohon jangan jadi menteri. Jika ada rakyat yang tidak tahan lagi ditipu oleh regim pemerintah, mohon jangan halang rakyat turun ke jalan raya!

* Dipetik dari The Malaysian Insider.

Leave a Reply

Your email address will not be published.