Categories
NASIONAL

BN fitnah Himpunan Ambang 2014 mahu guling kerajaan

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 23 DIS: Himpunan rakyat secara besar-besaran yang bakal diadakan pada malam ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka bukanlah bertujuan menggulingkan kerajaan seperti mana didakwa Kerajaan BN dan media arus perdana.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata perhimpunan Protes Rakyat Ambang 2014 anjuran pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) itu diadakan bagi melahirkan protes terhadap peningkatan kos sara hidup semakin melambung ekoran langkah Kerajaan BN menaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

khalid samad“Ia diadakan untuk membantah peningkatan kos sara hidup disebabkan dari hasil dasar yang diperkenalkan kerajaan pusat, tidak kena mengena dengan usaha menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.

“Ini semua satu fitnah dahsyat dari kerajaan Barisan Nasional (BN) dan penyokong mereka menerusi media kawalan mereka untuk memberi persepsi negatif berhubung perhimpunan itu,” kata Khalid dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di Seksyen 13 di sini, hari ini.

Khalid berkata Pakatan Rakyat (PR) tetap berpegang kepada proses demokrasi walaupun menyedari proses pilihan raya di negara ini dijalankan dengan pelbagai penipuan untuk memenangkan Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya sahaja menjadi pilihan kita kerana kita khuatir sekiranya perubahan kerajaan dihasilkan bukan dengan pilihan raya akan menghasilkan suasana huru-hara.

“Kita mahu peralihan kuasa licin dan lancar seperti mana yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah apabila ia dibuktikan dengan PR menang dalam pilihan raya,” kata beliau lagi.

Khalid berkata hak berhimpun untuk membantah sesuatu dasar menekan rakyat perlu dipertahankan kerana tindakan itu termaktub dalam perlembagaan dan merupakan sebahagian dari proses demokrasi.

“Perhimpunan ini boleh dielakkan sekiranya Kerajaan BN mengambil pendekatan mengutamakan kebajikan rakyat dalam merangka sesuatu dasar baru,” kata Khalid lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.