Categories
SELANGOR

Cadangan bernas Program Adun Muda dibawa ke Kerajaan Negeri

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 DIS : Cadangan bernas yang dikemukakan dalam Program Adun Muda Selangor akan dikemukakan di peringkat Kerajaan Negeri, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, terdapat dua usul diluluskan iaitu berkenaan menganjurkan Program Adun Muda Selangor sekurang-kurangnya sekali setahun serta usul untuk mewujudkan One Stop Centre untuk para belia.

IMG_0909“Cadangan lain juga akan kita pertimbangkan seperti cadangan untuk mengadakan lebih banyak sesi bersama pihak pembangkang dalam slot Program Adun Muda,” kata Hannah dalam satu sidang media di sini,semalam.

Program ini merupakan platform pertama seumpamanya yang disediakan Kerajaan Negeri untuk memberi peluang kepada anak-anak muda merasai prosiding sebenar di DNS sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Sepanjang tiga hari berlangsungnya program, kesemua 30 orang peserta yang terlibat berpeluang bertemu dengan para Pengerusi Jawatankuasa Terpilih, wakil penyokong Kerajaan Negeri dan beramah mesra bersama Ketua Pembangkang.

Program yang berakhir dengan menyaksikan tiga peserta terpilih sebagai Adun Muda terbaik; iaitu Muhammad Anas Shafiee, Hanif Mahpa dan K. Ganeshwaran.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsuddin Lias menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Program Adun Muda Selangor yang disifatkannya sebagai cukup bagus.

Shamsuddin yang juga Adun Sungai Burong berkata dengan adanya program seumpama itu, golongan muda kini berpeluang untuk mendekati secara praktikal pengalaman dan pengetahuan berkaitan proses-proses politik.

Oleh itu, katanya, beliau dan barisan pembangkang yang lain juga bersedia untuk bekerjasama serta melibatkan diri secara lebih aktif pada sesi penganjuran akan datang.

“Terima kasih dan tahniah kepada Speaker, Timbalan Speaker serta Dewan Negeri Selangor (DNS) atas anjuran program ini dan harapan saya semoga ianya dikekalkan pada masa hadapan.

“Diharap juga pada masa hadapan nanti, pihak penganjur dapat memberi lebih banyak lagi peluang untuk pihak pembangkang terlibat bagi menjayakan program yang baik ini secara bersama-sama,” kata Shamsuddin.

Turut serta Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Selat Kelang, Shaari Sungib, Gan Pei Nei (Rawang), R. Rajiv (Bukit Gasing) dan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.