Categories
SELANGOR

DUN Sementa anjur Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang

Oleh: Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 19 DIS : Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang bakal dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sementa pada 28 Disember depan sebagai platform untuk memperluaskan jaringan perniagaan di kalangan usahawan tempatan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata penganjuran karnival berkenaan adalah bagi menggalakkan dan memberi pendedahan kepada masyarakat untuk memilih bidang keusahawan sebagai pilihan kerjaya utama.

daroyahKatanya sehingga kini, ia berjaya menarik minat lebih 100 usahawan dari seluruh Selangor untuk menyertai karnival ini dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

“Usaha ini jelas membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam memartabatkan sektor keusahawanan sebagai salah satu bidang yang penting dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini,semalam.

Daroyah berkata kira-kira 30 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sudah memberi persetujuan untuk memeriahkan karnival tersebut setakat ini yang bakal dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, katanya pengujung yang hadir juga bakal dilengkapi dengan kemudahan wifi untuk melayari internet secara percuma bagi mencari ilmu dan maklumat.

“Dengan itu, saya berbesar hati menjemput semua rakyat Selangor untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan karnival ini,” katanya lagi.

Karnival yang berlangsung selama dua hari di Dewan Taman Seri Kerayong itu akan dipenuhi pelbagai aktiviti bermanfaat yang diyakini mampu menarik minat ribuan pengunjung untuk menghadirinya.

Antaranya, Kayuhan Jantungku sejauh 28 kilometer mengelilingi Dun Sementa, pertunjukan seni silat, pertandingan bubur lambuk antara kampung, pertandingan futsal, pertandingan bola jaring terbuka Selangor dan sebagainya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.