Categories
SELANGOR

Gangguan air: PBT diarah siap sedia bantu pengguna terjejas

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 14 DIS : Kerajaan Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersiap sedia menyediakan lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terlibat dalam gangguan bekalan air yang akan berlaku pada 17 hingga 22 Disember ini.

air-syabas_MBaMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Selangor memandang serius pengumuman yang dibuat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) gangguan bekalan air itu yang akan menjejaskan bekalan lebih 1 juta pengguna di Lembah Klang.

Kata Abdul Khalid, Kerajaan Selangor akan mengadakan perjumpaan dengan Syabas pada Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gangguan bekalan air termasuk persedian yang telah mereka dilakukan, jangkaan bekalan pulih sepenuhnya dan kawasan-kawasan yang terlibat.

Gangguan bekalan ini berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.

“Walaupun gangguan tidak dapat dielakkan, namun kerajaan Selangor akan memastikan Syabas selaku operator air di Lembah Klang memastikan gangguan bekalan ini tidak begitu menjejaskan dan membebankan kehidupan seharian pengguna.

“Kerajaan Negeri juga akan turut memanggil pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai persediaan memandangkan Syabas tidak akan menyediakan lori tangki sepanjang gangguan bekalan air berlaku kecuali pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan media.

Abdul Khalid berkata, Syabas diarahkan untuk memastikan bekalan air pulih lebih cepat atau sekurang-kurangnya dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pengguna tidak terlalu terbeban dengan gangguan air ini.

“Seperti yang diketahui, Kerajaan Selangor dalam proses mengambilalih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi bagi memberi perkhidmatan pembekalan air yang lebih efisien pada kadar tarif yang munasabah.

Selepas pengambilalihan ini selesai, Kerajaan Selangor berazam untuk memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna diutamakan dalam membuat keputusan apabila melibatkan henti tugas sementara loji atau kejadian lain di luar jangkaan,” kata Abdul Khalid.

-EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.