Categories
KENYATAAN MEDIA

Gangguan Air: PBT diarah siap sedia bantu pengguna terjejas

Kerajaan Selangor memandang serius pengumuman yang dibuat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa gangguan bekalan air akan berlaku pada 17 hingga 22 Disember yang akan menjejaskan bekalan kepada lebih 1 juta pengguna di Lembah Klang.

Gangguan bekalan ini berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.

Walaupun gangguan tidak dapat dielakkan, namun kerajaan Selangor akan memastikan Syabas selaku operator air di Lembah Klang memastikan gangguan bekalan ini tidak begitu menjejaskan dan membebankan kehidupan seharian pengguna.

mbJusteru, kerajaan Selangor akan mengadakan perjumpaan dengan Syabas pada Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gangguan bekalan air termasuk persedian yang telah mereka dilakukan, jangkaan bekalan pulih sepenuhnya dan kawasan-kawasan yang terlibat.

Kerajaan Negeri juga akan turut memanggil pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai persediaan memandangkan Syabas tidak akan menyediakan lori tangki sepanjang gangguan bekalan air berlaku kecuali pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.

syabasKita akan mengarahkan PBT supaya menyediakan lori-lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terlibat sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna di kawasan itu.

Kita meminta Syabas memastikan bekalan air pulih lebih cepat atau sekurang-kurangnya dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pengguna tidak terlalu terbeban dengan gangguan air ini.

Seperti yang diketahui, Kerajaan Selangor dalam proses mengambilalih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi bagi memberi perkhidmatan pembekalan air yang lebih efisien pada kadar tarif yang munasabah.

Selepas pengambilalihan ini selesai, kerajaan Selangor berazam untuk memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna diutamakan dalam membuat keputusan apabila melibatkan henti tugas sementara loji atau kejadian lain di luar jangkaan. – 13 Disember 2013.

 

Daripada: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.