Categories
SELANGOR

Gangguan air: Selangor arah PBT pantau kemudahan lif, sedia lori tangki

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 17 DIS : Berikutan gangguan bekalan air yang dijangka bermula hari ini, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan supaya memantau kemudahan lif di rumah-rumah bertingkat khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memudahkan mereka mengangkut air ke rumah masing-masing.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata PBT harus memastikan lif berfungsi dengan baik manakala lif yang rosak perlu diperbaiki dengan segera bagi meringankan beban penduduk PPR.

gangguan-bekalan-airKatanya PBT juga diarahkan supaya meletakkan lori-lori tangki dalam keadaan siap sedia untuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas sekiranya terdapat permintaan daripada penduduk setempat.

“Kerajaan negeri juga meminta pihak Konsortium Abbas Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk jika keadaan memerlukan.

“Saya berharap jika berlaku lagi keadaan seperti ini (henti tugas loji), pihak yang terlibat perlu memaklumkan lebih awal kepada kerajaan negeri supaya mudah untuk kita membuat perancangan dan gerak kerja bagi membantu mengurangkan kesukaran yang dihadapi pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang turut dihadiri wakil-wakil PBT di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.

Dalam perjumpaan itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) turut memaklumkan takungan air mentah di semua kolam takungan di Selangor adalah mencukupi malah melimpah ekoran hujan lebat hampir setiap hari sejak kebelakangan ini.

Syabas pula dalam taklimat sama memaklumkan pihaknya menempatkan 66 lori tangki dalam keadaan siap sedia dan 750 tangki statik sekiranya diperlukan di kawasan strategik untuk membekalkan air pada waktu kecemasan.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.