Categories
NASIONAL

Gantung The Heat, GERAMM anjur himpunan bantahan ‘Pensil Merah’ 4 Jan

Oleh: Siraj

KUALA LUMPUR 28 DIS : Gerakan Media Marah (GERAMM) akan menganjurkan satu himpunan di ibu kota Kuala Lumpur pada 4 Januari 2014, yang diberi nama bantahan ‘Pensil Merah’.

Peserta himpunan dikehendaki mematahkan pensil sebagai bantahan terhadap siri pencabulan kepada organisasi media selama ini, termasuk The Heat yang menjadi mangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

DSC_0118aPengumuman himpunan itu diumumkan dalam satu forum ‘Bebaskan Media’ anjuran GERAMM bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Forum tersebut membariskan panelis iaitu pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V.Anbalagan, Ketua Wartawan portal Free Malaysia Today, G.Vinod, bekas wartawan Utusan, Hata Wahari, aktivis media, Masjaliza Hamzah serta kartunis, Rona Sina.

Sementara itu, Sekretariat GERAMM, Radzi Razak, berkata himpunan itu bakal menghimpunkan pengamal media termasuk media cetak dan portal bagi menunjukkan solidariti terhadap penggantungan akhbar The Heat.

“4 Januari ini kita akan buat satu rapat umum yang menghimpunkan warga media untuk kita bagi satu lagi kenyataan fizikal kepada Perdana Menteri dan kepada semua rakyat Malaysia betapa pentingnya media,” kata Radzi.

Katanya, tindakan penggantungan oleh KDN itu didakwa mempunyai kaitan dengan tulisan bertajuk ‘All eyes on big spending PM Najib’ di muka depan dalam salah satu edisi The Heat baru-baru ini.

Bagaimanapun, KDN yang diketuai menterinya, Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan alasan teknikal yang tidak dimaklumkankan tentang pertukaran milikan dalam akhbar itu sebagai alasan penggantungan.

GERAMM mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, parti politik dan petugas media sendiri, iaitu:

Kepada Kerajaan Persekutuan:

1. Tarik balik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan benarkan ia beroperasi seperti biasa;

2. Siasat semula dengan rapi insiden-insiden keganasan anggota-anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012.

3. Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang tidak relevan lagi, malah ia dijadikan alat kawalan terhadap kebebasan pengamal media;

4. Membenarkan semua pengamal media membuat liputan di semua majlis kerajaan dan bangunan-bangunan awam untuk keperluan liputan berita.

5. Memohon maaf kepada pengamal-pengamal media atas tindakan-tindakan pencabulan hak kebebasan media selama ini;

Kepada parti-parti politik:

6. Memberi akses yang sama rata kepada semua pengamal media, tanpa pilih kasih, untuk hadir untuk liputan berita dalam aktiviti atau sidang media masing-masing.

Kepada semua media dan wartawan:

7. Mengamalkan etika kewartawanan, yang dianggap piawaian dunia, demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua;

8. Mendukung semangat kebebasan, keadilan dan hak-hak asasi manusia.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.