Categories
NASIONAL

GERAMM : Persatuan Wartawan Portal patut ditubuhkan

Oleh: SIRAJ MOHD ZAINI

KUALA LUMPUR 28 DIS : Sebuah persatuan wartawan portal patut ditubuhkan bagi melindungi wartawan itu susulan penggantungan akhbar The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan, berkata kebanyakan wartawan yang menganggotai NUJ tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha yang digerakkan bagi mempromosikan kebebasan media di negara ini.

DSC_0118a“Kebanyakan ahli NUJ datang daripada media cetak, kita tiada ahli daripada media elektronik mahu pun media baru, apa yang menjadi masalah adalah media tersebut (cetak) tidak menyokong usaha kami tetapi yang paling banyak memberikan sokongan adalah portal berita.

“Apabila saya menyertai portal berita The Malaysian Insider, saya sedar wartawan portal harus mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Wartawan Portal Malaysia bagi memastikan kebebasan media,” katanya.

Anbalagan berkata, dengan tertubuhnya satu persatuan berkenaan, wartawan portal akan terjaga dari segi kebajikan serta menjadi pusat latihan kepada wartawan baru.

“Ini adalah antara peranan yang dapat dimainkan oleh wartawan portal, dengan adanya persatuan itu akan dapat melatih wartawan agar lebih baik dalam laporan mereka serta menjaga kebajikan ahlinya,” katanya lagi.

DSC_0106aSehingga kini, Anbalagan berkata, pengaruh yang dibawa oleh media portal lebih berkesan kerana berjaya ‘menjuarai’ sesuatu isu lebih baik, jauh meninggalkan media cetak.

Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah, berkata pengamal media seharusnya perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan biarpun berdepan dengan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Pusat.

Katanya, media perlu bersikap adil termasuk memberi peluang kepada pihak yang dituduh untuk membela diri kerana pada akhirnya, rakyat yang dapat menilai kebenaran disebalik sesuatu isu.

“Sama ada suka atau tidak, menjadi prinsip kepada media, memberi peluang kepada seseorang untuk membela diri.

“Kita diberi peluang untuk membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan artikel yang mencabar pandangan mereka.

“Sekiranya media mahu rakyat tidak diperbodohkan, mereka mesti memberi ruang yang lebih untuk memastikan bahawa pencerahan berlaku dan mereka diberikan lebih maklumat,” katanya.

Masjaliza berkata demikian ketika menjadi panelis dalam satu forum yang dianjurkan oleh Gerakan Media Marah (GERAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, malam tadi.

Forum yang dihadiri pengamal media serta orang awam itu turut dibarisi panelis lain seperti pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan, Ketua Wartawan Free Malaysia Today, G.Vinod, bekas wartawan Utusan, Hata Wahari, serta kartunis, Rona Sina.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.