Categories
NASIONAL

KDN perlu pastikan polis syariah bukan tujuan politik

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 13 DIS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memperjelas dan membuktikan cadangan penubuhan ‘polis syariah’ seperti yang dicadangkan tidak mempunyai unsur politik.

Ahli Pimpinan PAS Pusat, Khalid Samad, berkata KDN sudah menyalahgunakan kuasa dan duit rakyat jika penubuhan itu lebih bersifat politik.

khalid samad white pc 02Katanya, KDN juga perlu memperjelaskan tujuan sebenar penubuhan pasukan polis syariah, selain cara pasukan itu bertindak dalam menangani kes.

“Kalau mereka sedang memperincikan, wajar mereka jelaskan apakah tujuan sebenar dan bagaimana cara polis syariah akan bertindak.

“Tetapi jika sekadar mahu memenuhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN) sebab mahu tunjukkan perjuangan PAS sudah tidak releven, maka ia satu penyahgunaan kuasa dan duit rakyat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamid, berkata pihaknya sedang memperincikan cadangan penubuhan pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini.

Cadangan itu antara lain akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.

Penubuhan polis syariah itu dicadangan selepas KDN ‘kononnya’ mendedahkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah berdasarkan 10 bukti yang mengaitkan pemimpin kedua parti itu.

Khalid bagaimanapun menyifatkan banyak perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam termasuk dari pemimpin BN sendiri.

“Sebab itu, mereka perlu lihat, jangan disebabkan ini nanti makin ramai pemimpin PAS ditahan kononnya atas tuduhan seperti itu. Jangan lakukan pembaziran atas tindakan BN itu kerana tidak wajar jika bermotifkan politik,” katanya.

-NFN-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.