Categories
SELANGOR

Kenaikan gaji ADUN Selangor bantu hapus rasuah

SHAH ALAM 1 DIS : Tindakan Kerajaan Selangor menaikkan gaji anggota pentadbir dan ADUN di negeri itu dapat membantu menghapuskan amalan rasuah di kalangan wakil rakyat.

Mat Sabu White 01Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata sebelum ini rakyat dikelirukan dalam isu kenaikan gaji ini oleh media walaupun ia merupakan satu keperluan bagi wakil-wakil rakyat.

“Wakil rakyat perlu dididik untuk menentang rasuah. Seperti yang berlaku di Singapura di mana elaun ahli-ahli Parlimen mereka begitu tinggi bahkan mengatasi beberapa negara-negara Eropah.

“Tetapi indeks rasuah di Singapura seperti yang didedahkan Transparency International, 9.5/10 iaitu hampir-hampir tiada rasuah,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Menurut Mohamad, di Singapura tidak berlaku kebocoran dan pembaziran dalam perbelanjaan kerana wang pembayar cukai diuruskan dengan baik.

“Saya dapati kebanyakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak peduli hal kemasukan elaun dan sebagainya kerana mereka mempunyai wang daripada pelbagai sumber lain,” katanya.

Katanya, kenaikan gaji dan elaun di Selangor tidak akan mengurangkan banyak wang simpanan negeri kerana jika kebocoran dan ketirisan dapat dikawal, ia akan menjimatkan lebih banyak wang pembayar cukai.

“Elaun Adun khasnya, sebelum dinaikkan hanya setaraf dengan guru besar dan kadang-kadang lebih rendah daripada guru besar di sekolah-sekolah yang lebih besar,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.