Categories
SELANGOR

Ubah ‘lorong belakang’ premis jadi kawasan seni dan rekreasi

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 1 DIS : Lorong belakang premis bangunan yang selama ini sinonim dengan imej buruk dan negatif dengan gambaran kotor menjijikkan serta berbahaya untuk dilalui kini semuanya berubah.

5Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata projek Laman Seni Shah Alam itu di Seksyen 2 di sini bakal merubah tanggapan negatif itu dengan projek kecerian dan bersih yang menyediakan peluang kepada komuniti khususnya golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam menyerlahkan bakat dan kreativiti.

Kata beliau, projek itu berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar antara MBSA dan syarikat korporat Bank Muamalat Malaysia Berhad yang memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk melaksanakan projek yang keseluruhannya berjumlah RM30,000.

“Laman Seni Shah Alam itu akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai khususnya karyawan dan para pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai dan kesenian.

“Ia juga memberi ruang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai,” kata beliau.

Mohd Jaafar berkata demikian dalam Majlis Perasmian Laman Seni Shah Alam di Sekyen 2 di sini.

1Melalui inisiatif ini para pelajar bekerjasama dengan MBSA untuk menceria dan memperindahkan lagi dinding lorong belakang melalui lukisan mural dengan pelbagai corak dan motif yang kreatif.

Laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) untuk menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni dan kreativiti sekaligus dapat memperkembangkan bakat.

Beliau berkata, masyarakat perlu merubah tanggapan bahawa lorong-lorong belakang rumah dan premis perniagaan adalah hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja.

Katanya, orang ramai mempunyai peranan untuk menjadikan kawasan berkenaan ceria dan bersih serta dapat digunakan untuk bersantai dan berekreasi dengan masyarakat kejiranan.

“Kita akan lebih berjaya jika semua pihak bersama-sama menggembeling tenaga bagi memastikan kawasan ini lebih baik dan selesa dalam keadaan baik dan tenteram.

“Dipohon juga pihak pekedai dan orang ramai agar memastikan keceriaan kawasan ini terus terpelihara,” kata Mohd Jaafar.

7Katanya, laman seni itu nanti akan ditambah beberapa kemudahan di masa hadapan seperti bumbung dan kawasan untuk berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan sepanjang masa tanpa mengira keadaan dan cuaca.

“Selain itu MBSA juga menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung bagi kemudahan dan keselamatan motosikal yang diletakkan di kawasan itu,” kata beliau.

MBSA merancang untuk melaksanakan projek laman seni di Seksyen 7 di sini bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi tinggal di sekitar kawasan itu yang turut akan ditambah kemudahan awam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.