Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat tidak serius bincang isu hak asasi manusia

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 14 DIS : Kerajaan Pusat didakwa bersikap tidak serius terhadap hak asasi manusia di negara ini apabila tidak membenarkan isu itu dibahaskan di Parlimen meskipun diasak berulang kali.

YB Teresa Kok Purple Mic 01Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok, berkata Kerajaan Pusat sehingga hari ini terus menghalang usul itu walaupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah mengemukakan 12 laporan tahunan kepada Parlimen sejak penubuhannya pada tahun 1999.

Beliau berkata tindakan itu juga jelas menafikan hak Suhakam yang dipertanggungjawabkan sebagai pengajur dan pelindung hak asasi manusia.

“Tindakan itu menunjukkan kurangnya kesungguhan dan komitmen kerajaan terhadap isu hak asasi manusia, malah menafikan demokrasi di negara ini.

“Apakah sebenarnya peranan Suhakam sekiranya kerajaan tidak membenarkan perdebatan penuh dilakukan di Parlimen atau masih tidak responsif terhadap cadangan yang terkandung dalam laporan itu?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tetap di Parlimen berhubung hak asasi manusia.

Katanya ia adalah langkah sementara untuk membolehkan ahli-ahli Parlimen membincangkan isu-isu hak asasi manusia berdasarkan laporan tahunan Suhakam.

Teresa berkata kerajaan pusat juga harus mengotakan janji mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, dua tahun lalu.

“Jika Najib serius tentang pengakuan “demokrasi terbaik”, beliau harus benarkan perdebatan di Parlimen dengan merujuk laporan tahunan Suhakam,” katanya lagi.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.