Categories
SELANGOR

Jangan politikkan skim TUNAS – Halimah

Oleh : Hafizan Taib

KLANG 4 DIS : Kerajaan negeri berharap semua pihak bekerjasama dalam menjayakan program Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) yang semakin mendapat perhatian masyarakat seluruh Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu adalah satu lagi usaha kerajaan negeri ke arah pembangunan masyarakat berilmu di negeri itu.

halimah speech green 21 jul 01“Kita harapkan kerjasama semua pihak demi menjayakan program ini. Mungkin ada campur tangan daripada segi politik tetapi kerajaan negeri tidak kisah kerana skim TUNAS ini hak ibu bapa.

“Jika ibu bapa yang menghantar anaknya di tadika seperti tadika perpaduan dan layak mendapat bantuan TUNAS maka mereka berhak menerimanya. Maksudnya, saya harap pihak berkenaan bersikap rasional dan terbuka,” katanya kepada Selangor Kini di sini, semalam. ini.

Dr Halimah berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM3 juta untuk program itu pada tahun depan dan Rantaiam Mesra Sdn Bhd (RMSB) akan menjalankan sesi promosi dan penerangan berterusan di seluruh Selangor demi mencapai sasaran ditetapkan.

Beliau berkata, RMSB juga akan bekerjasama dengan semua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) termasuk pendaftaran tadika dan taska di bawah Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Katanya, kerajaan negeri menggalakkan ibu bapa yang layak mendaftar anak mereka berusia lima dan enam tahun supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

“Ia adalah usaha kerajaan negeri bagi meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah dalam memberikan pendidikan sempurna kepada anak,” katanya.

TUNAS adalah program bantuan yuran RM50 sebulan kepada anak daripada keluarga berpendapatan RM2,500 ke bawah yang dihantar ke tadika dan pra sekolah yang berdaftar dengan MPTS.

Pada 1 Mei lalu, kerajaan negeri menaikkan had kelayakan daripada pendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM2,500 supaya lebih ramai rakyat dapat menyertainya dan menikmati manfaat daripada program berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.