Categories
NASIONAL

Syarat baru JPA untuk jawatan pekerja buruh pinggir ramai pemohon

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 4 DIS : Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan surat pekeliling yang mewajibkan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai syarat kemasukan untuk pekerja awam membawa kesukaran kepada ramai pemohon.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata walaupun langkah JPA itu disambut baik atas usaha menaikkan taraf pekerja, namun ia didakwa menimbulkan pelbagai masalah.

stevensimBeliau berkata, ramai pemohon dalam kategori itu adalah mereka yang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang baik, namun gred jawatan berkenaan hanya mewajibkan kelulusan sekolah rendah sebelum ini.

“Pada 29 Oktober lalu, JPA keluarkan satu pekeliling dengan menetapkan pekerja awam bergred R1, iaitu peringkat paling bawah dalam perkhidmatan akan diselaraskan bersama Penyelamat dan Pekerja Awam Khas dan tiga jawatan itu dikategorikan sebagai pembantu awam bergred H11.

“Kini, jumlah tenaga buruh berkelulusan sekolah rendah masih tinggi iaitu lebih kurang 17 peratus atau 2.1 juta orang.

“Ramai pemohon dalam kategori ini akan dipinggirkan dalam jawatan itu kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sim berkata, kelulusan PMR tidak diperlukan untuk melaksanakan tugasan bagi jawatan peringkat terbabit walaupun mengikut skop gred yang baru.

Katanya, bidang tugas pembantu awam yang diberi pekeliling itu antara lain termasuk kerja fizikal, kerja pembersihan, penyelenggaraan kerosakan kecil dan tugasan ‘hands-on’ terutama di luar kawasan pejabat.

“Jelas sekali semua tugas ini tidak memerlukan kelulusan PMR. Justeru, saya menyeru kerajaan mengkaji semula dasar baru itu dan memansuhkan syarat kelulusan PMR untuk jawatan ini.

“Apa yang kerajaan patut lakukan adalah menyediakan peluang latihan dan kemahiran serta pengetahuan terutama kepada pekerja tahap permulaan seperti H11 untuk mempertingkatkan keupayaan diri mereka supaya maju dalam kerjaya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.