Categories
NASIONAL

Kos hidup tinggi, Isa Samad tidak faham peranan kerajaan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 24 DIS : Tan Sri Isa Samad gagal memahami peranan Kerajaan Pusat yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal peningkatan kos sara hidup apabila bertindak mempertahankan Umno-BN dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dielak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata kenyataan Isa itu ternyata meleset sekaligus membuktikan beliau gagal memahami matlamat kerajaan melalui dasar ekonomi negara.

khalid samadSebelum ini, Isa yang juga Pengerusi Felda berkata rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada Umno-BN mengenai kenaikan harga barangan keperluan serta kos sara hidup.

Khalid berkata meskipun Malaysia memiliki sumber kekayaan yang tinggi, namun ia tidak dapat dinikmati rakyat di negara ini berikutan pengurusan ekonomi yang lemah dan tidak amanah.

“Soal ekonomi dan kos kehidupan ditentukan oleh dasar yang digunakan kerajaan pemerintah yang ia merangkumi cara mereka menggunakan kekayaan negara.

“Namun apa yang dilaksanakan kerajaan setakat ini tidak membantu kerana terlalu banyak ketirisan, pembaziran, rasuah serta kronisme yang berlaku sehingga menjejaskan rakyat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Khalid berkata kerajaan Umno-BN juga perlu berhenti menggunakan alasan “faktor ekonomi dunia tidak menentu” apabila setiap kali cuba menaikkan harga barangan dan keperluan.

Beliau berkata pengurusan dan dasar ekonomi yang lestari mampu membangunkan ekonomi rakyat dengan lebih baik seperti yang diamalkan negara-negara Asia lain seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.

“Singapura setaraf dengan kita tetapi pengurusan dan dasar ekonomi yang lestari berjaya membangunkan ekonomi rakyat sehingga menyebabkan mereka jauh ke depan berbanding Malaysia.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat sering diamalkan Umno-BN kerana pemimpin tertentu berjaya membina empayar ekonomi untuk diri dan keluarga mereka tetapi ekonomi rakyat merudum dan berada pada tahap mengecewakan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.