Categories
NASIONAL

Mahfuz : Najib perlu letak jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara

SHAH ALAM, 27 DIS: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dirombak sepenuhnya supaya lebih memberi tumpuan kepada soal keselamatan negara dan bukan kepada pemantauan politik sahaja.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta MKN menyediakan standard operating procedure (SOP) yang baru bagi berdepan bencana alam, khususnya banjir dan kebajikan rakyat pada masa akan datang yang dilihat banyak kelemahan.

Mahfuz-1Mahfuz menegaskan, bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi MKN meletak jawatan dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memilih mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik.

“Kita melihat terlalu banyak kelemahan yang berlaku di dalam MKN terutama dalam soal keselamatan dan kebajikan rakyat terutama apabila menghadapi bencana banjir, baru-baru ini.

“Bagi saya, bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi paling utama adalah keseluruhan jawatankuasa termasuk pengerusinya yang perlu dilantik di kalangan mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik langsung,” katanya yang dipetik dari Harakahdaily, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, MKN sekarang lebih tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan memberi tekanan kepada perjalanan Pakatan Rakyat (PR) hingga gagal bertindak dengan pantas dalam menghulurkan bantuan ketika banjir berlaku.

Mahfuz berkata, rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih tertumpu kepada soal kebajikan dan pantas membuat keputusan jika berlaku musibah yang tidak disangka.

“MKN hanya tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan menimbulkan propaganda kepada politik PR supaya parti itu terus bertapak. Soal keselamatan, kebajikan rakyat serta pelan bertindak perlu jika berlaku sesuatu bencana, namun gagal ditekankan sebaik mungkin.

“Kita lihat apa yang berlaku di Kuantan dan Kemaman pada banjir lalu, berapa lama diperlukan untuk menghantar bantuan makanan serta perpindahan mangsa. Rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih prihatin bukan mengutamakan agenda politik, nama dan kedudukan,” katanya.

Mahfuz menggesa satu pelan tindakan baru dilaksana bagi membentuk jawatankuasa baru MKN dan SOP sebelum ini juga perlu dirombak sepenuhnya.

Katanya, perkara itu perlu diambil perhatian serius kerana kenyataan Ahmad Shabery adalah satu pengakuan jelas bahawa MKN mempunyai kelemahan dalam soal kebajikan rakyat dan keselamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.