Categories
SELANGOR

MB Selangor sedia bincang isu kenaikan gaji

Oleh  Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 DIS : Satu perbincangan bersama Adun Pakatan Rakyat (PR) berhubung isu kenaikan gaji yang diluluskan Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini akan diadakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia susulan saranan pimpinan tertinggi PR di Parlimen yang meminta kerajaan negeri untuk menyemak semula peratusan kenaikan gaji berkenaan.

IMG_7764Beliau akan meluangkan masa untuk mengadakan perbincangan dengan ahli dewan negeri untuk memahami cadangan dan saranan pemimpin PR baru-baru ini.

“Kenaikan gaji itu telah diluluskan Dewan Negeri Selangor. Justeru, kita perlukan perbincangan lanjut dengan ahli dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

IMG_7641Abdul Khalid menjangka perbincangan itu berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Belanjawan Negeri 2014.

Setakat ini, katanya, tiada Adun dari pihak kerajaan mahupun pembangkang yang membantah kenaikan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Abdul Khalid mempertimbang semula jumlah gaji untuk wakil rakyat di Selangor.

Ia berikutan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi PR menyifatkan kenaikan itu agak tinggi meskipun Selangor mencatat perkembangan ekonomi yang sangat baik.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.