Categories
SELANGOR

MB jamin proses baiki jalan tidak lambat, amal tender terbuka

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 DIS: Amalan tender terbuka antara punca kelewatan proses pembaikan jalan raya pada 2011 tetapi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan ia tidak akan berulang lagi.

Malah, beliau berkata kerajaan negeri sudah menggunakan hampir 80 peratus jumlah peruntukan dalam Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) sejak tahun 2012.

“Pada 2011, kita atur langkah supaya proses pembaikian jalan raya dilakukan secara tertib. Sebab itu ada kelewatan sedikit.

“Tetapi untuk tahun seterusnya sejak 2012, kita pastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

“Malah setiap tahun kita guna peruntukan Marris sebanyak 80 peratus,” katanya ketika mengulas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini berhubung isu jalan raya di Selangor.

IMG_7897Laporan Audit minggu lalu mendedahkan kerajaan negeri menggunakan RM640.24 juta daripada RM1.14 bilion yang diperuntuk kerajaan Pusat untuk membaiki jalan raya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperkenal dan mengguna pakai garis panduan baru dalam penggunaan peruntukan Marris bermula 2012 selepas mendapati garis panduan lama terdedah kepada salah guna kuasa dan ketirisan.

Kerajaan negeri kemudian membuat garis panduan ketat bagi memastikan penggunaan peruntukan Marris digunakan dengan betul, berkesan dan menepati keperluan rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata, garis panduan baru ini melibatkan banyak agensi dan peringkat selain melibatkan proses tender terbuka hingga menyebabkan kelewatan membelanjakan wang Marris.

-EZY FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.