Categories
SELANGOR

MBSA hantar pasukan khas bantu mangsa banjir

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 12 DIS : Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesengsaraan mangsa banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak menghantar pasukan konvoi bantuan kemanusiaan ke Kuantan, Pahang hari ini.

banjir1Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata konvoi itu adalah bagi membantu mangsa-mangsa banjir dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mengeluarkan barang rosak di setiap kediaman selain membersihkan kawasan yang terlibat semasa bencana alam baru-baru ini.

Katanya, konvoi itu disertai kira-kira 34 warga kerja MBSA dari pelbagai Jabatan dan Bahagian, antaranya Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan (Pasukan Unit Pantas), Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Korporat serta Bahagian Pembersihan Awam dan Sisa Pepejal.

“MBSA membekalkan kenderaan logistik terdiri daripada sebuah lori ‘open tipper’, dua buah ‘backhoe’ (jengkaut), dua buah lori Roro, sebuah lori tangki air, dua buah van dan empat buah kenderaan pacuan empat roda (FWD).

banjir“Pasukan Bantuan Kemanusiaan MBSA ini akan membantu PBT, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta penduduk setempat untuk membersihkan kawasan dan membantu membuang barang-barang yang musnah akibat banjir,” katanya ketika merasmikan pelepasan pasukan konvoi di hadapan Ibu Pejabat MBSA, di sini.

Mohd Jaafar berkata, pelaksanaan misi bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban dan kesulitan mangsa banjir serta membantu pihak PBT setempat untuk mengurangkan sampah yang terhasil semasa kejadian banjir dengan lebih cekap dan efektif.

Beliau berkata penghantaran pasukan bantuan ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh pihak MBSA kerana sebelum ini bantuan sama turut diberikan semasa kejadian banjir yang berlaku di negeri Johor dan Kedah.

“Kita telah memulakan misi bantuan ini sejak Disember 2011 lagi bagi membantu PBT di kawasan berkenaan melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Pasukan konvoi hari ini adalah pasukan pertama yang akan digerakkan untuk bertugas selama lima hari dan sekiranya perlu kita akan hantar pasukan kedua sebagai sokongan,” katanya lagi.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.