Categories
SELANGOR

MBSA: Kontraktor gagal ikuti kehendak kerja dihenti kontrak

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 24 DIS : Kontraktor yang didapati gagal menepati spesifikasi kerja pembersihan digariskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan dikenakan tindakan pemberhentian kontrak.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata tindakan tegas itu diambil bagi memastikan kerja pembersihan di sekitar bandar raya Shah Alam tidak terganggu.

mbsa 2Katanya, tindakan itu bagi memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang semestinya inginkan perkhidmatan pembersihan terbaik di bandar raya ini.

“Bagaimanapun, kita akan terlebih dahulu memberi notis untuk pembetulan, jika selepas dua kali masih tidak memuaskan kontrak perkhidmatan akan ditamatkan.

“Kita akan sentiasa membuat pemantauan di lapangan bagi memastikan tahap kebersihan di seluruh kawasan MBSA berada dalam spesifikasi yang dikehendaki,” kata Mohd Jaafar.

Beliau berkata demikian sejurus selesai majlis penyerahan surat tawaran bagi perkhidmatan pembersihan awam dan penyelenggaraan longkang di kawasan MBSA.

Terdahulu beliau turut berkesempatan memberi taklimat mengenai ‘standard’ kerja pembersihan dan penyelenggaraan kepada 114 kontraktor.

“Harus diingatkan kepada semua bahawa MBSA tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor berhubung isu perkhidmatan kebersihan kerana jika tidak, ia akan mencemarkan imej MBSA.

“Sehubungan itu, MBSA berharap setiap kontraktor akan bertanggungjawab dengan menjalankan kerja mengikut jadual dan masa yang ditetapkan,” katanya.

Sebanyak 18 kontraktor dilantik bagi menjalankan kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan dengan jumlah harga keseluruhan kontrak RM 2.2 juta.

Mereka akan memulakan perkhidmatan pada 1 Januari hingga 31 Disember 2014 dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSA.

Sementara itu, bagi pembersihan awam pula, sebanyak 96 kontraktor dilantik untuk tempoh perkhidmatan selama tiga tahun bermula 2014 hingga 2016.

Jumlah harga keseluruhan kontrak pembersihan awam ialah RM 53.8 juta dengan pemantauan berterusan akan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Bandar MBSA.

Bagi 2013, MBSA memperuntukkan RM 6.5 juta sebulan kepada 427 kontraktor bagi kerja-kerja penyelenggaraan, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sepanjang tahun adalah RM 77.7 juta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.