Categories
SELANGOR

Rawang banjir, Kerajaan Negeri sedia hulur bantuan

Oleh: Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 24 DIS : Bantuan kepada mangsa banjir kilat yang berdepan insiden bencana alam awal pagi tadi di sekitar bandar Rawang akan disalurkan secepat mungkin.

Adun Rawang, Gan Pei Nei, berkata sumbangan berkenaan adalah bagi meringankan beban mereka yang terlibat untuk membersihkan kediaman masing-masing sejurus selepas kejadian itu.

gan pei nei pc white 01Beliau berkata pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Gombak bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga sudah diarahkan untuk membuat pemantauan dari masa ke masa.

“Walaupun kejadian ini adalah di luar kawalan, tetapi pihak JPS dan MPS sudah diarahkan untuk turun padang bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Satu laporan lengkap akan disusuli kemudian supaya kita dapat pantau dan sediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan bagi mencegah kejadian itu.

“Tetapi tumpuan kita sekarang adalah untuk membantu mangsa dengan menghulurkan bantuan kepada mereka bagi kerja-kerja pembersihan rumah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Pei Nei berkata, insiden kali kedua yang berlaku dalam tempoh kurang sebulan di bandar Rawang itu adalah antara yang terburuk pernah dicatatkan.

banjir rawang2Ekoran kejadian itu katanya lebih 22 buah rumah dimasuki air selain turut menjejaskan beberapa buah kawasan antaranya Kampung Sungai Bakau dan Aeon Rawang.

Beliau berkata ia dipercayai berpunca daripada limpahan air di Sungai Pajang dan Sungai Gong berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

“Saya dimaklumkan kawasan yang terkena banjir adalah di kawasan lebih rendah dan bersangkutan dengan satu sungai yang mengalir di Bandar Country Holmes iaitu Sungai Pajang dan Sungai Gong.

“Difahamkan kawasan ini adalah rizab JPS yang mempunyai binaan strukur yang menghalang pengaliran air di mana bila hujan lebat air tidak dapat mengalir dengan lancar,” katanya lagi.

Justeru katanya satu pelan tindakan akan diambil untuk mengenalpasti punca kejadian bagi memastikan insiden sama tidak terus berulang.

“Kita akan susuli dengan pelan tindakan untuk mengenalpasti punca kejadian kerana kawasan ini sekarang pesat membangun.

“Kita mahu pastikan kemajuan itu mesti dilengkapi dengan sistem saliran yang baik supaya isu ini dapat dielakkan,” katanya.

banjir rawang1Ribuan penduduk di sekitar Rawang dekat sini hari ini terkandas akibat banjir kilat, terutama berhampiran pusat membeli-belah Aeon Rawang.

Difahamkan air mula naik kira-kira pukul 6 pagi tadi dan surut selepas kira-kira empat jam kemudian.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.