Categories
NASIONAL

Najib jaguh di kampung sendiri, ‘kecut perut’ luar gelanggang UMNO

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 5 DIS : Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sebagai jaguh kampung yang kuat bersorak dalam gelanggang sendiri tetapi ‘kecut perut’ ketika berada di luar gelanggang Umno.

Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, sehingga kini Najib masih gagal untuk berdebat secara terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai pihak mencabar beliau.

ng suee lim2“Sehingga kini, tidak ada rekod untuk Najib selaku ketua tertinggi kerajaan berdebat dengan Anwar berhubung isu rakyat walaupun sudah berkali dicabar Anwar sama ada sebelum atau selepas PRU-13 lalu.

“Inilah contoh pemimpin yang hipokrit dan paling penakut apabila tidak berani berhadapan dengan Anwar. Jadi, apa lagi untuk berhadapan dengan pemimpin dan kuasa luar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Najb dalam ucapannya mengibaratkan beliau menang set bermain badminton menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada PRU-13 lalu.

Kenyataan yang dibuat Najib itu ekoran kejayaan BN membentuk Kerajaan Persekutuan dengan memenangi 112 daripada 222 kerusi walaupun hakikatnya PR memenangi undi popular 52 peratus, berbanding BN yang hanya memenangi undi 48 peratus rakyat Malaysia, pada PRU-13 lalu.

Sementara itu, Pakatan Rakyat (PR) turut mempertikaikan pengadil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang secara nyata adalah pro-Barisan Nasional (BN).

SPRM Siasat UmnoSuee Lim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan PRU-13 dipimpin ahli Umno, maka hampir semua tindakan badan itu menjurus kepada kemenangan BN.

Katanya, helah berkenaan jelas melalui proses persempadanan semula yang tidak adil serta bertujuan mengekalkan kuasa BN untuk terus ‘songlap’ wang pembayar cukai.

“Ini diakui bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa kerja SPR kekalkan kuasa Melayu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“PR bukan tidak menerima kenyataan, tetapi kita dikejutkan dengan pendedahan orang tertinggi SPR itu ahli Umno dan mereka juga tidak nafikan perkara yang didedahkan sejak sebelum PRU-13 lalu. Jadi, kalau sudah pengadil orang Umno, bagaimana kita sebagai pemain boleh terima keputusan mereka,” katanya.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.