Categories
NASIONAL

Petisyen PRU13: Nurul Izzah kekal, Zahid Hamidi belum pasti

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 23 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini menolak petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) bagi Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi Nurul Izzah Anwar.

Izzah PKR“Alhamdulillah, Mahkamah Rayuan menolak petisyen terhadap keputusan PRU-13 P121 Lembah Pantai. Inshaa Allah akan teruskan fokus untuk memberikan khidmat yang terbaik buat warga Lembah Pantai.

“Marilah kita bersama-sama mengorak langkah positif dan berganding bahu demi Malaysia yang lebih baik,” kata Nurul Izzah dipetik dari Laman Facebooknya.

Pada PRU-13 lalu, Nurul Izzah mengalahkan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur mengekalkan Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai apabila menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Setiausaha Umno Lembah Pantai, Mohamad Sazali Kamilan.

Hakim Zabariah Mohd Yusof membenarkan kebanyakan bantahan awal yang dibuat oleh peguam Nurul Izzah, Edmund Bon.

Mahkamah memerintahkan Sazali membayar kos RM40,000.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan hari ini menghantar semula petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh ke mahkamah pilihan raya dan ia menjadikan nasib Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum dapat diputuskan.

ZAHID HAMIDIPanel lima hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, ketika membenarkan permohonan oleh dua pempetisyen berkata, sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen.

“Pempetisyen tidak perlu secara fizikal memfailkan petisyen itu sendiri,” katanya ketika membacakan keputusan sebulat suara itu dipetik dari The Malaysian Insider.

Madhi Hasan dan Azmi Sulaiman memfailkan dua petisyen dengan asas bahawa Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan rasuah dan perbuatan menyalahi undang-undang.

Antaranya ialah membeli undi dan berbelanja melebihi RM200,000 untuk mendapatkan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, merit kes berkenaan tidak dapat didengar kerana Hakim Mahkamah Pilihanraya, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuang petisyen berkenaan susulan daripada bantahan awal bahawa petisyen perlu dihantar sendiri secara fizikal oleh pempetisyen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Zahid menewaskan Madhi dengan majoriti 2,108 undi. Zahid memperolehi 17,176 undi manakala Madhi yang bertanding atas tiket PKR mendapat 15,068 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.