Categories
SELANGOR

Rasuah punca banyak kes pemerdagangan manusia

Oleh : Mohd Ezli Mashut,

KUALA SELANGOR, 14 DIS : Antara elemen yang menyuburkan pemerdagangan manusia adalah berpunca berleluasanya perbuatan rasuah, kata wakil Tenaganita, Aegile Fernandez.

“Rasuah perlu ditangani untuk menghasilkan kejayaan dalam usaha pembanterasan aktiviti pemerdagangan manusia, khususnya di negara ini,” katanya semasa Program Advokasi Antipemerdagangan Manusia.

antiKira-kira 100 orang peserta menghadiri program itu anjuran Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) di Kampung Bukit Kucing Hilir, Jeram di sini baru-baru ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Jeram, MPP Zon 5 MDKS, JKK Kampung-kampung di Jeram dan pimpinan wanita tempatan.

Program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada isu dan kaedah mengenalpasti insiden pemerdagangan manusia dan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh penduduk setempat ke arah membanteras jenayah pemerdagangan manusia di negeri Selangor.

MAPMAS dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail yang merupakan entiti Kerajaan Selangor yang mengendalikan isu pemerdagangan manusia yang bukan saja melibatkan warga dan tenaga kerja asing tetapi juga warganegara Malaysia.

Kes-kes melibatkan penjualan bayi, pemerdagangan pengantin, seks, tenaga kerja, pembantu rumah dan lain-lainnya.

Sehingga kini MAPMAS terlibat mengendalikan lebih lima ribu pekerja asing dan tempatan dengan majoritinya adalah kes pekerja yang tidak dibayar gaji oleh majikan.

Anggota Jawatankuasa MAPMAS, Rozaini Mohd Rosli dan Aziz Ismail turut menjadi panel penceramah program tersebut.

Turut hadir ialah Ahli Majlis MDKS, Ahmad Alang, Penghulu, Baharom Hussein, enam orang ketua kampung, AJK Biro Wanita tempatan dan wakil Pusat Khidmat Rakyat Jeram.

Untuk melaporkan pemerdagangan manusia yang disyaki, sila hubungi:

• Hotline Antipemerdagangan Malaysia – No. Hotline: 999

• Laporkan kes /kejadian kepada balai polis yang berdekatan

• NGO dan/atau talian hotline Tenaganita: 012-33650512/014-23395350

• Hotline Negeri Selangor : 03-55190600
(Isnin-Jumaat: 8.00 pagi-5.00ptg.,
Sabtu & Ahad: 9.00 pagi – 5.00 ptg)

Leave a Reply

Your email address will not be published.