Categories
NASIONAL

Umno hulur ‘talian hayat’ kepada Utusan?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Umno didakwa menghulurkan ‘talian hayat’ kepada Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd dengan memberikan projek membekalkan tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, daripada 2013 sehingga suku kedua tahun 2017 Utusan mengalami kerugian hampir RM220 juta selain mengalami kemerosotan pengedaran berdasarkan laporan Biro Audit Pengedaran Mei 2017.

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian hampir RM220 juta boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet bagi projek bernilai RM340 juta? Tambahan projek ini diberikan tanpa tender terbuka.

“Ini membuktikan sehingga menjelang PRU-14, Barisan Nasional (BN) tidak pernah dan tidak berhasrat untuk berubah. Pentadbiran mereka tetap berpaksikan 3K iaitu Korupsi, Kronisme dan Kleptokrasi,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Pada 23 November lalu, Steven mengemukakan soalan mengenai pemberian tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dalam jawapannya berkata, setakat ini 182,712 tablet diagihkan dengan perbelanjaan RM152 juta dengan syarikat pembekal tersebut adalah Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd.

Categories
NASIONAL

Parlimen EU tegur isu 1MBD, derma RM2.6 bilion dan penjara Anwar

SHAH ALAM, 19 DIS: Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menggesa Putrajaya lebih telus dan adil dalam siasatan membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata melalui resolusi itu EU menyertai badan global termasuk Transparency International dan media termasuk penyiasat dari Hong Kong, Singapura, Switzerland, United Kingdom, dan Amerika Syarikat supaya kerajaan Malaysia menggesa siasatan terhadap 1MDB.

stevensim“Berhubung dakwaan rasuah, EU menggesa agar ‘siasatan bebas dan adil’ dan kerajaan tidak seharusnya menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media,” katanya dalam kenyataan.

Sim berkata, resolusi itu memalukan negara dan jika tidak ditangani, skandal 1MDB akan terus menyumbang nama buruk kepada Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, resolusi itu turut menyentuh penggunaan Akta Hasutan 1948, sekatan perdebatan umum dan pengucapan bebas selain Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru diluluskan di Parlimen sebelum ini.

“Di bawah Akta Hasutan sendiri menyaksikan sekurang-kurangnya 78 disiasat atau didakwa sejak awal 2014,” kata resolusi itu.

EU turut membangkitkan penahanan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat pada Februari 2015 dengan menyifatkan ia sebagai ‘pendakwaan berasaskan politik’ serta mengakibatkan pendakwaan jenayah yang tidak mematuhi standard perbicaraan antarabangsa.

“Beliau (Anwar) turut dinafikan hak mendapatkan rawatan perubatan.

“Kebimbangan yang disuarakan resolusi Parlimen EU ini bukan baharu bagi Malaysia,” kata Sim.

-nR-

Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen DAP lapor polis atas provokasi melampau Umno

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari membuat laporan polis atas provokasi yang berbahaya oleh pemimpin Umno Pulau Pinang yang mengetuai demonstrasi di hadapan Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, semalam.

Memetik Harakah Daily, antara provokasi yang dilakukan termasuk membawa sepanduk berbaur fitnah dan hasutan seperti ‘DAP musuh Islam’ dan ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?’ serta ucapan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

stevensimAntara pemimpin Umno Pulau Pinang yang menyertai demonstrasi itu adalah Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Reezal Merican; Setiausaha Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; bekas Pemuda Umno negeri, Rafizal Rahim dan Sheikh Hussein Mydin.

“Tindak-tanduk mereka adalah perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab, berunsur hasutan dan bertujuan mencetuskan ketegangan kaum serta huru-hara di kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Pada masa sama, kenyataan berkenaan DAP yang tertera dalam sepanduk serta ucapan mereka adalah langsung tidak benar dan dakwaan yang tidak berasas sama sekali,” ujar mereka dalam satu kenyataan.

Katanya, provokasi kaum dan agama serta ugutan Mei 13 yang sering digunakan Umno adalah kerana kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir ekonomi sehingga rakyat terpaksa mengikat perut menghadapi kenaikan barangan yang mendadak.

“Taktik kekecohan dan perkauman digunakan untuk mengalih perhatian daripada perkara yang lebih genting seperti hal ehwal ekonomi, kepincangan pentadbiran kerajaan dan gejala rasuah.

“Rakyat pada masa kini tidak mudah diperbodohkan dan tidak akan termakan dengan sandiwara Umno.

zairil wacana dap“Pada masa sama, kami juga menyeru supaya Umno jangan bertindak seperti pemimpin mereka adalah maksum dan umpama firaun yang tidak boleh dikritik,” katanya.

Kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara dan kenyataan beliau berkenaan isu ‘kangkung’ menunjukkan beliau langsung tidak memahami kesusahan rakyat.

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan yang dipilih rakyat harus bersedia untuk menghadapi kritikan rakyat, khususnya apabila ternyata gagal membela rakyat.

“Oleh itu, Najib serta konconya dalam Umno harus berhadapan dengan realiti dan tidak menyalahkan orang lain serta menggunakan taktik fitnah, hasutan dan ugutan perkauman demi mengalih perhatian daripada kegagalan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Syarat baru JPA untuk jawatan pekerja buruh pinggir ramai pemohon

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 4 DIS : Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan surat pekeliling yang mewajibkan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai syarat kemasukan untuk pekerja awam membawa kesukaran kepada ramai pemohon.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata walaupun langkah JPA itu disambut baik atas usaha menaikkan taraf pekerja, namun ia didakwa menimbulkan pelbagai masalah.

stevensimBeliau berkata, ramai pemohon dalam kategori itu adalah mereka yang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang baik, namun gred jawatan berkenaan hanya mewajibkan kelulusan sekolah rendah sebelum ini.

“Pada 29 Oktober lalu, JPA keluarkan satu pekeliling dengan menetapkan pekerja awam bergred R1, iaitu peringkat paling bawah dalam perkhidmatan akan diselaraskan bersama Penyelamat dan Pekerja Awam Khas dan tiga jawatan itu dikategorikan sebagai pembantu awam bergred H11.

“Kini, jumlah tenaga buruh berkelulusan sekolah rendah masih tinggi iaitu lebih kurang 17 peratus atau 2.1 juta orang.

“Ramai pemohon dalam kategori ini akan dipinggirkan dalam jawatan itu kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sim berkata, kelulusan PMR tidak diperlukan untuk melaksanakan tugasan bagi jawatan peringkat terbabit walaupun mengikut skop gred yang baru.

Katanya, bidang tugas pembantu awam yang diberi pekeliling itu antara lain termasuk kerja fizikal, kerja pembersihan, penyelenggaraan kerosakan kecil dan tugasan ‘hands-on’ terutama di luar kawasan pejabat.

“Jelas sekali semua tugas ini tidak memerlukan kelulusan PMR. Justeru, saya menyeru kerajaan mengkaji semula dasar baru itu dan memansuhkan syarat kelulusan PMR untuk jawatan ini.

“Apa yang kerajaan patut lakukan adalah menyediakan peluang latihan dan kemahiran serta pengetahuan terutama kepada pekerja tahap permulaan seperti H11 untuk mempertingkatkan keupayaan diri mereka supaya maju dalam kerjaya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pastikan gaji minimum dilaksana sepenuhnya sebelum GST

gajiKUALA LUMPUR 6 NOV : Kerajaan Pusat perlu memastikan pelaksanaan gaji minimum dilaksanakan sepenuhnya sebelum Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dikuatkuasakan bermula 1 April 2015.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata Kerajaan Pusat juga perlu memikirkan cara dan bertindak mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan yang kini masih tinggi.

“Kerajaan juga perlu memastikan juga sekurang-kurangnya 50 peratus (rakyat) dapat membayar cukai pendapatan,” kata Steven ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan 2014 di Dewan Rakyat.

Steven berkata, Kerajaan Pusat harus memikirkan cara mengatasi ketirisan sebanyak RM 28 bilion setahun agar wang negara dibelanjakan secara berhemah.

Katanya, Kerajaan Pusat diingatkan untuk memastikan hasil GST dikongsi dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

“Perkara ini penting untuk dilaksanakan secara 50:50 untuk membolehkan pembangunan setempat,” kata Steven.

– EZY

Categories
SELANGOR

‘Special Branch’ zaman Najib lebih ramai daripada era darurat

steven-sim-1-650x400KUALA LUMPUR 6 NOV : Bilangan anggota Cawangan Khas (SB) Polis lebih ramai pada zaman Najib Razak, berbanding ketika darurat pada 1950-an dahulu, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Steven mendedahkan pada tahun 1954 ketika darurat diisytiharkan, anggota SB pada ketika itu hanya seramai 459 orang, iaitu sekadar dua peratus sahaja daripada keseluruhan anggota polis.

“Tetapi pada 2012, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat 8,200 anggota SB berbanding hanya sekitar 5,000 anggota pada 2005 di bawah Tun Abdullah Badawi.

“Adakah ini bermakna Malaysia di bawah Najib lebih teruk berbanding zaman darurat dahulu?,” kata Steven sidang Dewan Rakyat ketika membahaskan Bajet 2014.

Steven berkata, pada tahun lepas, SB berjaya menyiapkan sebanyak 380,000 laporan risikan iaitu bersamaan 1,000 laporan setiap hari manakala Jabatan Siasatan Jenayah (CID) pula sekadar berjaya menyelesaikan 60,000 kes pada tahun sama.

“Jumlah kes yang diselesaikan CID itu hanya 15 peratus sahaja daripada kes jenayah dilaporkan.

“Bukankah lebih baik jika kecemerlangan SB melakukan risikan, termasuk risikan politik digunakan untuk membanteras jenayah,” kata Steven.

-EZY