Categories
SELANGOR

Syarikat tidak berpengalaman punca longgokan sampah di MRR2

SAMPAH_MRR2Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 DIS: Insiden longgokan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada minggu lalu didakwa berpunca daripada pengurusan syarikat kontraktor sampah tidak berpengalaman.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata syarikat Umpan Jaya Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak mengurus Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, Kepong itu hanya berpengalaman menaikkan paras tanah timbus di beberapa kawasan sebelum ini.

Ong Kian Ming 01Katanya, syarikat itu juga dipercayai dimiliki bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan bersama ahli keluarganya.

“Mengapa pihak kerajaan memberi kontrak kepada syarikat ini walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pusat pemindahan sampah. Adakah kerana ia dimiliki bekas pimpinan Umno,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga didakwa gagal mengambil langkah awal bagi menangani masalah itu walaupun menyedari syarikat kontraktor berkenaan tidak beroperasi dengan baik.

Beliau berkata, sikap DBKL yang sengaja membiarkan situasi itu menyebabkan kejadianitu mengganggu lalu lintas dan keselesaan orang ramai.

“DBKL sedar Umpan Jaya menghadapi banyak masalah operasi di Taman Beringin tetapi kenapa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan sampah diuruskan dengan betul dan dipindahkan ke Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar,” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberi kepada Umpan Jaya dan bagaimana syarikat itu boleh dilantik.

“Menteri juga diminta beri jaminan yang pihak terbabit disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bertanggungjawab, bahkan jaminan kontrak seterusnya akan diberi melalui tender terbuka,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok sepanjang bahu jalan MRR2 menyebabkan kesesakan teruk dan penduduk serta pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau busuk sepanjang jalan itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.