Categories
AGENDA NASIONAL

Polis saman pemandu lori jatuhkan bongkah konkrit di MRR2

SHAH ALAM, 25 MAC: Polis menyaman pemandu lori yang cuai sehingga bongkah konkrit terjatuh di lorong tengah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Ampang.

Ketua polis Ampang Jaya berkata kejadian kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan laluan trafik sesak selepas Hillview menghala ke Ampang, lapor Berita Harian.

“Tidak ada laporan polis dibuat berhubung kejadian, namun pihak polis sudah mengeluarkan saman terhadap pemandu lori terbabit.

“Bongkah konkrit itu sudah dialihkan dan laluan kembali lancar kira-kira setengah jam kemudian,” kata Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak.

Awal pagi tadi, satu bongkah konkrit berbentuk segi empat jatuh dari sebuah lori di jalan terbabit sehingga trafik sesak ketika orang ramai keluar ke tempat kerja.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian: Tunggu laporan CIDB insiden konkrit timpa kereta, ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Kerja Raya sedang menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berhubung insiden kereta ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara siasatan melibatkan perspektif reka bentuk, struktur lebuh raya, aspek pemantauan keselamatan dan pengurusan trafik, di kawasan berkenaan.

“Kita akan dapatkan dahulu laporan daripada CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan kita akan nyatakan tindakan yang akan diambil kemudian,” katanya pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri bersama lebih 40 wakil syarikat dan persatuan, di sini, hari ini.

Sabtu lepas, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM), untuk rawatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf MRR2 siap, kurangkan sesak ke pantai timur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur khasnya sewaktu musim perayaan dijangka dapat dikurangkan apabila projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak kini siap sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis penyerahan dan merasmikan projek menaik taraf MRR2 Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

Fadillah berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Menurut siaran media yang diedarkan, terminal ini bakal menampung perkhidmatan bas ekspres ke koridor timur dan utara serta membolehkan pengalihan lebih daripada 700 bas ekspres daripada memasuki kawasan pusat perdagangan selepas terminal ini dibuka.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kren terbalik akibat permukaan tanah tak stabil

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 26 FEB: Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (ProLintas) hari ini mengesahkan kejadian kren terbalik di kilometer 25.2 berhampiran Dataran Ukay, pada jam 10 pagi tadi.

ProLintas dalam kenyataan berkata, ia berlaku ekoran permukaan tanah yang menempatkan jentera berkenaan tidak stabil, namun tiada kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan.

“Pasukan kecemasan dikerahkan ke kawasan kejadian untuk memberi bantuan dan kerja pembersihan juga kini giat dijalankan bagi menyuraikan kesesakan trafik dengan kadar segera.

“Justeru itu, ProLintas memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul ekoran kejadian ini,” katanya.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan serta keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE adalah menjadi keutamaan mereka.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan aduan berhubung pembinaan Lebuhraya SUKE boleh menyalurkannya kepada Facebook PROLINTAS Highways, Twitter @mySUKEofficial atau di talian 1300-88-9922.

Categories
SELANGOR

Lebuhraya EKVE selesai kesesakan MRR2

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 MEI: Pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dilihat berupaya menyelesaikan masalah kesesakan yang sering berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pembangunan lebuh raya itu.

Katanya, Jabatan Perhutanan akan mengadakan pertemuan dengan pemaju bagi membincangkan perkara berkenaan memandangkan jajaran EKVE akan melalui beberapa kawasan hutan simpan di Selangor.

c1“Setuju atau tidak setuju, kita kena dengar dahulu. Tetapi EKVE dilihat dapat menampung masalah yang ditanggung MRR2 buat masa ini.

“Kalau ditanya penduduk yang menggunakan MRR2, mereka akan kata kita perlu menambah jalan lain disebabkan kesesakan yang dilalui bukan lapan jam sehari, tetapi hampir 16 jam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSNS) 2035 di Holiday Villa yang turut dihadiri barisan Exco Negeri antaranya Iskandar Abdul Samad dan Dr Halimah Ali.

8b10ce5c46f02caadbb6334f510faa58_XLPembinaan projek EKVE akan melalui proses pendengaran awam dan ia adalah proses yang pertama kali diadakan berhubung pembangunan sesebuah lebuh raya di negara ini.

Sesi pendengaran awam dijangka akan diadakan pada Jun ini dan dipengerusikan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Lebuhraya EKVE akan menghubungkan beberapa lebuh raya seperti Kajang Silk dan Karak Expressway dan dijangka membabitkan keluasan 106 hektar tanah hutan simpan di Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Syarikat tidak berpengalaman punca longgokan sampah di MRR2

SAMPAH_MRR2Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 DIS: Insiden longgokan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada minggu lalu didakwa berpunca daripada pengurusan syarikat kontraktor sampah tidak berpengalaman.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata syarikat Umpan Jaya Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak mengurus Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, Kepong itu hanya berpengalaman menaikkan paras tanah timbus di beberapa kawasan sebelum ini.

Ong Kian Ming 01Katanya, syarikat itu juga dipercayai dimiliki bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan bersama ahli keluarganya.

“Mengapa pihak kerajaan memberi kontrak kepada syarikat ini walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pusat pemindahan sampah. Adakah kerana ia dimiliki bekas pimpinan Umno,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga didakwa gagal mengambil langkah awal bagi menangani masalah itu walaupun menyedari syarikat kontraktor berkenaan tidak beroperasi dengan baik.

Beliau berkata, sikap DBKL yang sengaja membiarkan situasi itu menyebabkan kejadianitu mengganggu lalu lintas dan keselesaan orang ramai.

“DBKL sedar Umpan Jaya menghadapi banyak masalah operasi di Taman Beringin tetapi kenapa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan sampah diuruskan dengan betul dan dipindahkan ke Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar,” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberi kepada Umpan Jaya dan bagaimana syarikat itu boleh dilantik.

“Menteri juga diminta beri jaminan yang pihak terbabit disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bertanggungjawab, bahkan jaminan kontrak seterusnya akan diberi melalui tender terbuka,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok sepanjang bahu jalan MRR2 menyebabkan kesesakan teruk dan penduduk serta pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau busuk sepanjang jalan itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Cat Cuma Dua Pangsapuri, Ong Tee Keat Lebih Dwi Standard

SHAH ALAM 25 SEPT : Adun Teratai, Jenice Lee membidas kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan Kerajaan Negeri dwi standard dalam melaksanakan pembangunan di kawasan Ampang.

Sebaliknya kata Jenice, Ahli Parlimen Pandan itu yang mengamalkan dwi standard kerana hanya memilih dua pangsapuri di hadapan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) untuk dicat semula, baru-baru ini.

“Sekiranya beliau tidak mengamalkan dwi standard dan pilih kasih mengapa beliau (Ong Tee Keat) tidak membantu pangsapuri yang lain, mengapa hanya dua pangsapuri yang dipilih?

“Beliau yang lebih jelas dwi standard. Lihat sahaja Kerajaan Negeri, kita tidak memilih, semua kita baik pulih menerusi program ceria,” katanya ketika dihubungi.

Ong Tee Keat yang juga bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini mendakwa penurapan jalan di sekitar Ampang dilakukan secara tidak menyeluruh.

Mengulas lanjut, Jenice menjelaskan, kerja-kerja penurapan jalan dilakukan berdasarkan keperluan dan aduan penduduk.

Malah, kerja-kerja itu dilakukan secara berperingkat.

“Beliau langsung tidak faham polisi dan dasar Kerajaan Negeri. Kita buat macam itu supaya duit rakyat tidak dibazirkan.

“Sebelum Pakatan Rakyat (PR) pegang Kerajaan Negeri, Umno-BN pun memang polisinya begitu. Jadi apa masalahnya?” soalnya.