Categories
NASIONAL

The Heat kembali ke pasaran

SHAH ALAM 8 FEB: Akhbar mingguan The Heat yang digantung sementara penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak pertengahan Disember tahun lalu kembali diterbitkan minggu ini.

The HeatAkhbar terbitan Satria Kiara Sdn Bhd milik Kumpulan Media HCK itu mula masuk ke pasaran sejak Jumaat.

Dalam sebuah rencana muka depan, akhbar itu mengakui bahawa tindakan penggantungan itu menjejaskan sebahagian perancangannya tetapi memberi jaminan ia sama sekali tidak menghakis prinsip kewartawanannya.

Ia memberi jaminan akan terus menyuarakan isu-isu penyelewengan dan ketidakadilan serta usaha memecahbelahkan negara.

“Kami akan terus melakukannya dengan adil dan bebas,” kata rencana muka depan itu dipetik Astroawani.com

Ketua Pengarang The Heat, David Lee dalam lidah pengarangnya juga memberi jaminan tindakan penggantungan sementara itu tidak akan menjejaskan hala tuju editorial akhbar mingguan tersebut.

Dalam edisi sulung selepas penggantungan itu, The Heat menerbitkan sebuah rencana dua halaman merakamkan episod berkenaan “dalam konteks yang betul: bahawa media yang bebas adalah sebahagian daripada proses demokrasi.”

The Heat adalah satu daripada tiga penerbitan Kumpulan Media HCK yang turut menerbitkan mingguan bisnes, Focus Malaysia dan laman web berita, theantdaily.com.

heatjpgPada Dis 19, The Heat diberitahu tentang penggantungannya oleh Kementerian Dalam Negeri, dipercayai selepas menyiarkan artikel bertajuk “All Eyes On Big Spending PM Najib” di muka depan akhbar itu.

Selepas penggantungan itu, wartawan dan kumpulan hak asasi telah membentuk satu kumpulan perpaduan dipanggil Gerakan Media Mara (Movemement Media Marah) atau Geramm.

Pelbagai aktiviti, termasuk kempen media sosial, memakai t -shirt berwarna merah dan forum serta satu protest diadakan dalam tempoh kempen itu.

Categories
BERITA UTAMA

Pejuang media vs raksasa bernama Kerajaan – Aedi Asri

DALAM perjalanan pulang ke rumah selepas kerja, saya berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang ke KLCC. 24 Disember, malam Krismas.

Di semua kompleks beli-belah yang dilalui, ada tujuh semuanya, orang sibuk dan terasa benar mood raya – dengan lagu yang keluar daripada pembesar suara, persembahan pentas di ruang legar hingga dekorasi ikut tema. Macam raya lain juga.

heatjpgLima hari sebelumnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit akhbar mingguan berbahasa Inggeris – The Heat. Akhbar baru, tak ramai yang tahu.

Empat belas tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum ke-11, KDN mengharamkan mingguan Eksklusif dan majalah Detik. Kedua-duanya terkubur. Undur lagi, ketika Operasi lalang di penghujung 80-an, akhbar The Star dan Watan pun ditarik permitnya. The Star hidup kembali dan kini orang kenal sebagai akhbar MCA. Watan pula selamat dikebumikan.

Sama seperti malam Krismas tempoh hari, saya yakin tiada apa yang berubah, atau dilihat berubah, dalam kehidupan ramai seminggu selepas The Star dan Watan diharamkan. Yang terjejas hanya pekerja syarikat yang hilang punca pendapatan.

Bagaimana jika pagi esok ketika berjalan ke pejabat, anda tidak lihat akhbar besar seperti Utusan Malaysia dan New Straits Time di kedai? Kemungkinan besar, anda akan pulang seperti biasa lapan jam kemudian, tanpa rasa apa-apa.

Siapa peduli hal pengharaman buku – akhbar – majalah?

Media untuk apa?

Media, dalam suasana paling ideal, adalah pemerhati paling tajam perilaku dunia; daripada penguasa sehingga masyarakat, tiada yang terlepas. Media hanya patut berpihak kepada ideologinya sendiri. Bukan kepada perintah penguasa, mahu pun sikap kolektif masyarakat. Saya rasalah.

(Mengapa tidak kepada masyarakat? Kerana media menyampaikan sesuatu isu menurut kecondongannya. Dalam keadaan yang benar-benar bebas, pasti akan wujud pelbagai media dengan perspektif masing-masing. Dengan kepelbagaian inilah masyarakat akan menilai dan menentukan sikap.)

Namun, pada ketika terburuknya, media menjadi perkakas multi-tugas paling berguna untuk pihak yang menguasainya – di Malaysia, tentunya pemerintah yang mencengkam media dengan segala macam undang-undang.

Kita lihat sendiri bagaimana penguasa menjatuhkan musuh politik, mengada-adakan ketakutan bersama masyarakat. Ini semua berlaku di hadapan mata kita sendiri. Dan mata kita tak terbeliak pun ketika melihatnya.

Apatah lagi, kata ‘bebas’ itu sudah dianjak maknanya dan diberi nilai negatif oleh penguasa, melalui media juga. ‘Bebas’ bukan lagi ‘merdeka’, tetapi ‘perlakuan tanpa tanggungjawab’. Jika ia adalah satu sisi pada sekeping syiling, sisi satu lagi adalah ‘huru-hara’.

Maka tidak pelik, seruan media bebas jarang disahut masyarakat dengan bersungguh-sungguh. Dalam diam, ramai yang sebenarnya masih tidak punya keyakinan untuk menganggap kebebasan (selain tiada kesan langsung kepada kelangsungan hidup, tentunya). Sokongan politik pula, di sebelah oposisi terutamanya, jarang melampaui tuntutan agar mereka diberi ruang sama.

Di Malaysia, yang sungguh-sungguh berjuang demi media yang (benar-benar) bebas ini hanya pengamalnya. Sekelompok kecil inilah yang tanpa henti menuntut hak mereka dikembalikan.

Manakan tidak, kesedaran mereka sehari-hari disentak; antara hati nurani dan perut yang perlu diisi.

Geramm dan The Heat

geramm-red-pencil9-1024x576 (4)(1)Mengambil berkat daripada pengharaman The Heat, sekumpulan pengamal media sekali lagi menyuarakan laungan kebebasan ini. Gerakan Media Marah, atau Geramm, menggerakkan siri kempen membantah pengharaman akhbar mingguan itu – melalui serangan twitter, forum dan kemuncaknya setakat ini, Protes Pensel Merah Sabtu lalu.

Saya menyertai ketiga-tiganya, paling kurang sebagai pemerhati. Dan saya perhatikan, ia ternyata perjuangan yang relatifnya sunyi, dengan halangan besar dan musuh seperti raksasa.

Seratus pengamal media berdiri di bawah lebat hujan menuntut hak mereka. Walaupun ada ‘by-standers’ yang menyokong, lebih ramai yang kelihatan tertanya-tanya, atau berlalu sahaja selepas berhenti sekejap untuk tengok-tengok apa yang berlaku. ‘Kebebasan media’ tidak menangkap benak rasa sepantas ‘turun harga minyak’.

Musuh di hadapan pula adalah kerajaan yang berkuasa – bagi sebuah negara bernama Malaysia. Di sini, sebaik mana pun kepala yang memimpinnya, jarang bertolak ansur dengan media. Mogok Utusan Melayu terjadi pada 1961, ketika Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.

Jadi, Apa yang saya nampak adalah sejumlah pengamal media melawan raksasa yang sangat berkuasa – duduknya lebih tinggi daripada undang-undang dan boleh mengubahnya sesuka hati.

Kisah di Oran

Berdekad lalu bertempat di Oran, Algeria, dikisahkan sekumpulan manusia yang berhadapan dengan musuh yang cukup berkuasa – satu wabak misteri yang meragut nyawa.

tikusIa datang dengan amaran yang cukup singkat. Secara tiba-tiba, ribuan tikus keluar daripada sarangnya dan mati di jalan-jalan. Bangkai dikumpul dan dibakar. Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang mendapat wabak dan hilang nyawa.

Wabak itu menguasai perjalanan hidup, seterusnya menjadi norma kepada penduduk Oran. Sempadan ditutup, perkhidmatan keretapi terhenti. Barang keperluan asas jadi barang rare. Kota mati.

Angka kematian diumumkan setiap minggu, sentiasa meningkat. Penduduk mula berputus asa. Yang tinggal hanya doa – agar wabak itu tidak mengetuk pintu rumah mereka yang tertutup rapat.

Dr Bernard Rieux pula sebaliknya, sejak daripada awal berdiri di barisan hadapan bagi menghadapi raksasa itu. Bersama beberapa orang lagi – paling menonjol, Jean Tarrou – membentuk pasukan sukarela bagi melawannya dan menyelamatkan penduduk. Pada masa sama, Raymond Rambert, wartawan asing yang terperangkap, tidak putus-putus mencari lubang menyeludup keluar daripada bandar itu.

Selain mengetuai hospital, dia bersama-sama Tarrou melawat rumah untuk memeriksa mangsa, yang selalunya berakhir dengan mangsa diangkut ambulans ke pusat kuarantin. Apa yang pada mulanya untuk mengelak wabak tersebar dan rawatan lanjut diberikan, menjadi prosedur menuju kematian.

Rieux merasakan dirinya menjadi malaikat maut yang menghantar pesakit ke lubang kuburnya..

Mogok Utusan Melayu ke Protes Pensel Merah

geramm logoPerjuangan kebebasan media di Malaysia mengiringi perjalanan negara, sejak merdeka hingga kini. Satu tempoh panjang, berhadapan pemerintah yang bersilih ganti namun berkongsi ketakutan sama. Daripada Mogok Utusan ‘61 hingga Protes Pensel Merah ‘14, dan entah apa lagi selepas ini.

Bagi Rieux, dia sedar berdepan dengan kematian adalah perlawanan yang pasti kalah. Dia cuma terus berlawan kerana itu adalah satu-satunya peranan yang tersedia untuknya. Tugas doktor adalah merawat kesakitan.

Begitu juga dengan pengamal media. Peranannya adalah menjadi pengamal yang benar, dan menjadi tugasnya melawan apa sahaja yang menjadi penghalang.

Di Oran, kesungguhan Rieux dan Tarrou menarik ramai orang untuk bersama-sama, termasuk Rambert, yang membatalkan niat untuk melepaskan diri, walaupun pintu sudah dibuka.

Akhirnya, wabak yang meragut nyawa beribu manusia hilang begitu sahaja. Bukan sangat kerana ‘ubat’ yang berjaya membunuh lawan, tetapi lantaran perjuangan yang tidak pernah padam.

Dipetik: Roketkini.com

Categories
NASIONAL

Kempen bantah KDN dapat sambutan tokoh luar negara

SHAH ALAM 26 DIS: Kempen membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung takhbar mingguan The Heat turut mendapat perhatian kumpulan penulis dan aktivis media negara seberang.

heatjpgDipetik daripada Malaysia Kini, tokoh budayawan Indonesia Goenawan Mohamad, penggerak awal Aliansi Jurnalis Indonesia (AJI) Andreas Harsono dan novelis terkenal Ayu Utami turut mengambil bahagian bagi menyatakan sokongan terhadap rakan media di negara ini, pada hari ketiga kempen tweet harian.

“Media bisa salah, tapi membungkam (mencengkam) media lebih besar kerugian dari manfaatnya. Paling rugi adalah warga Malaysia,” tulis Andreas di akaunnya @andreasharsono malam tadi.

Andreas yang juga pemenang anugerah ‘Pendukung Hak Asasi Manusia John Rumbiak’ lantaran usahanya di Papua Barat, antara paling aktif mengajak rakan seangkatan Indonesia menyokong kempen Gerakan Media Marah (GERAMM).

Sementara itu, Goenawan turut mengajak rakan di Indonesia mengikuti bantahan penggantungan The Heat di laman Twitter.

“Ada pembrangusan pers (penggantungan akhbar) di Malaysia: ikuti TL (kemaskini tweet) @andreasharsono,” tweet beliau.

Pemenang Anugerah Putera Klaus kerajaan Belanda, Ayu Utami pula antara tokoh paling awal menyokong perjuangan kumpulan media Malaysia.

“Perjuangan kelompok aktivis media indipenden di Malaysia ingatkan saya pada AJI di OrdeBaru; keep fight! (teruskan melawan),” tulis beliau.

Ketiga-tiga mereka adalah aktivis yang menggerakkan perjuangan media dan pemikiran Indonesia menentang pentadbiran Orde Baru Presiden Soeharto sejak 1994 hingga kejatuhannya pada 1998.

Bantahan penggantungan permit akhbar ‘The Heat’

Tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit akhbar ‘The Heat’ adalah tidak demokrasi

Categories
NASIONAL

The Heat: Tindakan ‘membabi-buta’ KDN, Jingga 13 hantar memo

Oleh: SIRAJ MOHD ZAINI

PUTRAJAYA 24 DIS: Sekumpulan ahli NGO Jingga 13 hari ini menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendesak kementerian itu menarik semula penggantungan akhbar mingguan The Heat.

Kumpulan berkenaan yang diketuai koordinatornya Fariz Musa serta beberapa orang ahlinya dilihat memasuki ruang legar kompleks bangunan kementerian berkenaan di Blok D2, Parcel D, Putrajaya pada pukul 11.30 pagi tadi.

DSC_0052aTindakan penggantungan oleh KDN itu didakwa mempunyai kaitan dengan tulisan bertajuk ‘All eyes on big spending PM Najib’ di muka depan dalam salah satu edisi The Heat baru-baru ini.

Bagaimanapun, KDN yang diketuai menterinya, Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan alasan teknikal yang tidak dimaklumkankan tentang pertukaran milikan dalam akhbar itu sebagai alasan penggantungan.

Sementara itu, Koordinator Tugas-Tugas Khas Jingga 13, Nikson Abdillah, berkata tindakan KDN disifatkan tidak demokratik dan profesional serta menggambarkan sikap anti kebebasan media yang menimbulkan rasa kurang senang rakyat dan pengamal media.

heatjpgKatanya, apa jua alasan KDN dilihat serta dipercayai sebagai hukuman drastik terhadap akhbar berkenaan ekoran penyiaran artikel yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

“Akta penerbitan dan mesin cetak sewajarnya bukan dijadikan ‘senjata’ untuk ditujukan kepada penerbitan dan kelompok media sehingga dilihat oleh rakyat dan dunia sebagai akta mengekang kebebasan bersuara dan anti kebebasan media,” katanya ketika ditemui di luar bangunan KDN, di sini, hari ini.

DSC_0022aDalam pada itu, memorandum itu turut mendesak KDN menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat sehingga ke akar umbi insiden keganasan polis terhadap wartawan dan pengamal media sewaktu himpunan Bersih 3.0 pada tahun lalu.

Nikson berkata, Zahid dan KDN perlu memohon maaf secara terbuka kepada semua pengamal media di atas kes pencabulan hak kebebasan media sepanjang BN mentadbir negara ini.

Sehingga kini, Malaysia berada di kedudukan 145 untuk Indeks Kebebasan Media yang diterbitkan Reporters Without Borders, jauh ketinggalan di belakang Bangladesh, Kemboja dan Indonesia.

EZY

Categories
NASIONAL

Anwar: Gantung The Heat tekan kebebasan bersuara

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 23 DIS: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan Kerajaan BN yang menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Heat.

anwarAnwar dalam satu tulisan di Twitter berkata, beliau yakin tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri itu tidak akan memadamkan “api kebebasan” yang dibawa oleh akhbar tersebut.

Katanya tindakan itu merupakan sebagai perbuatan kasar untuk menekan kebebasan bersuara.

heat anwar

“Usaha kasar untuk mengekang kebebasan berusara tidak akan menghapus kehangatan. Api kebebasan tidak akan mudah terpadam,” tulis Anwar di Twitternya.

Sebelum ini, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Berhad, Datuk A Kadir Jasin berkata penggantungan itu oleh Kerajaan Pusat melanggar ikrar janji yang pernah dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mewujudkan kebebasan media di negara ini.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri mungkin terlupa bahawa Najib Razak ada membuat janji demikian sebelum ini seperti yang tertera di laman web rasmi 1Malaysia.

Gerakan Media Marah (GERAMM) juga menyeru agar pengamal media memakai pakaian merah setiap hari Jumaat sebagai simbol solidariti bantahan terhadap tindakan Kerajaan BN menggantung mingguan The Heat.

Kumpulan itu mahu melakukan kempen di laman media sosial Twitter selama satu jam sehari bermula Isnin dengan menggunakan hashtag #theheat dari jam 9.30 malam.

Categories
BERITA UTAMA

The Heat: Guna hak berfikir sebelum hak bersuara?

Oleh: Haris Zuan

BETUL, berapa kerat sahaja yang baca The Heat. Malah sebelum permit The Heat ini digantung tidak bertali (meminjam istilah Fathi Aris Omar) oleh Kementerian Dalam Negeri, kebanyakan kita tidak sedar pun akan kewujudan akhbar mingguan ini.

Tetapi kita pastinya tidak terlalu naif untuk menyedari bahawa tindakan ini adalah peringatan untuk yang lain agar lebih ‘berhati-hati’ dalam laporan mereka.

theheatSebagai latar untuk perbincangan ini, suka diingatkan, Malaysia berada di kedudukan 145 untuk Indeks Kebebasan Media yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders, ketinggalan di belakang Bangladesh, Kemboja, dan Indonesia, syukur sedikit baik berbanding negara komunis Korea Utara.

Mengapa kita harus malu dengan rekod ini dan bagaimana kebebasan akhbar ini mempengaruhi tahap kecerdikan kita dalam membuat keputusan?

Apa kaitannya kebebasan akhbar dengan demokrasi?

Pertamanya bagi memahami perkara ini, kita harus pulang kepada idea paling asas dalam demokrasi perwakilan (representative democracy) yang kita amalkan kini.

Oleh kerana penduduk Malaysia ini terlalu ramai, maka tidak semua orang mampu terlibat aktif dalam proses membuat keputusan. Bayangkan sahaja dalam sebuah kampung, setiap kali diadakan mesyuarat, hanya beberapa kerat sahaja yang mampu hadir. Apatah lagi untuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bagi setiap sidang.

Perkara ini boleh kita fahami atas dua alasan. Pertama tidak semua orang mempunyai masa lapang untuk hadir mesyuarat dan keduanya tidak semua orang berminat dengan semua isu yang dibincangkan serta mungkin juga tidak mempunyai pengetahuan mendalam akan setiap isu yang ingin dibincangkan.

Oleh yang demikian, kita memilih wakil yang terbaik di antara kita untuk mewakili kita dengan anggapan mereka ini akan memastikan kepentingan kita dipertahankan.

Maka kita memilih wakil setiap penggal pilihan raya tanpa gagal ke Dewan Undangan Negeri untuk pertahankan kepentingan kita di peringkat negeri dan Parlimen untuk peringkat Persekutuan. Mudah. (nota: malangnya kini kita tidak lagi memilih wakil ke kerajaan tempatan setelah hak ini digantung oleh Kerajaan UMNO-BN sejak 1960an).

Namun, bagaimana kita mahu memastikan mereka ini menjalankan tanggungjawab menjaga kepentingan kita atau mereka ini sebenarnya membuat keputusan yang menyusahkan kita pada akhirnya? Maka di sinilah pentingnya kebebasan media termasuk akhbar.

Kita mesti mengetahui apa yang mereka lakukan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Apa yang mereka bahas dan putuskan.

Apakah setiap wakil yang kita pilih itu benar-benar berbahas demi mempertahankan kepentingan kita atau sebenarnya mereka hanya membuat lawak sarkis. Maaf, jangan silap sangka, saya tidak merujuk kepada Bung Mokhtar.

parlimentMalangnya di negara ini tiada siaran langsung untuk sidang Parlimen – Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara – apatah lagi Dewan Undangan Negeri. Hanya RTM yang menyiarkan siaran langsung untuk sesi jawapan Menteri daripada jam 10:00 pagi hingga 11:30 pagi. Hanya itu.

Maklumat ini sangat penting bagi memastikan kita tidak kekal memilih orang yang tidak layak untuk mewakili kepentingan kita.

Demikianlah peri pentingnya maklumat yang datangnya daripada kebebasan media. Tanpa kebebasan media ini, kita mungkin bukan sahaja akan terus memilih orang bodoh untuk membuat keputusan untuk kita, malah kita akan kekal memuja kebodohan mereka.

Tapi bagaimana pula jika akhbar ini menipu?

Kebebasan media dan hak bersuara bukan bererti TV3 akan menyiarkan berita yang menyokong Pakatan Rakyat atau Roketkini berkempen untuk Barisan Nasional. Media tidak pernah neutral dan tidak mungkin akan neutral. Maka atas alasan inilah kita memerlukan lebih banyak media untuk mewakili kumpulan yang berbeza – bukan sahaja dalam soal parti politik.

Apabila ada banyak pilihan, kita boleh membandingkan maklumat yang ada dan membuat keputusan yang lebih baik. Tanpa maklumat daripada semua sudut, kita akan kekal menjadi bodoh.

Kebebasan datang dengan akibat dan tanggungjawab. Jika akhbar didapati menipu, saman sahaja mereka ini sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakkan pemimpin Pakatan Rakyat yang menang berjuta ringgit kerana akhbar salah lapor kenyataan mereka. Malangnya berita ini tidak disiarkan demi membodohkan orang kampung.

Membawa isu salah lapor ini ke mahkamah jika tidak mahu dibiarkan kepada orang ramai untuk membuat keputusan sendiri adalah jauh lebih terhormat dan munasabah berbanding sistem kini yang membolehkan satu orang manusia di negara ini – Menteri Dalam Negeri – menentukan apa yang seharusnya 30 juta rakyat negara ini baca dan tahu.

Gunakan Hak Berfikir Sebelum Hak Bersuara?

Aktivis berbaring depan ParlimenSatu ayat yang gemar digunakan oleh mereka yang anti-kebebasan bersuara (mereka ini sebenarnya tidak pun faham erti kebebasan bersuara itu hanya anti kerana disuruh begitu) adalah lirik lagu Aku Maafkan Kamu naynyian Malique dan Jamal Abdillah – guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara. Kenyataan yang sebenarnya bersifat falasi (kesalahan logik atau kesesatan hujah).

Bersuara adalah manifestasi fikiran kita. Kebebasan bersuara adalah kebebasan untuk menzahirkan fikiran kita dalam apa bentuk pun – tulisan, filem, musik, lukisan – dan dalam apa medium pun – akhbar, majalah, radio, playcard, kanvas. Hak berfikir bererti hak untuk menyampaikan idea kita kepada orang lain.

Tanpa kebebasan paling asas ini oleh lain (termasuk kita) tidak mampu untuk berfikir kerana masing-masing tidak mampu meluahkan idea masing-masing dan saling bertukar pandangan.

Oleh itu, tidak mungkin wujud keadaan di mana kita dapat menggunakan hak berfikir tanpa mendapat hak bersuara kerana kedua-duannya adalah hal yang sama, melainkan jika ada yang bersuara tanpa berfikir – sekali lagi ini tiada hubungan dengan Bung Mokhtar.

Oleh kerana kini tiada lagi ruang untuk menzahirkan hak berfikir melalui medium konvensional seperti TV dan akhbar maka ramai yang telah menggunakan internet – Facebook, Twitter, Youtube dan portal berita.

Malangnya capaian internet di Malaysia ini maha pelahan (di tangga 122 dunia di belakang Angola menurut Household Download Index) dan liputannya belum benar-benar mencakupi luar bandar maka hanya mereka yang berada di bandar dan pinggir bandar yang mendapat akses kepada maklumat ini yang kemudiannya menciptakan jurang perbezaan maklumat yang besar antara bandar dan luar bandar, sebagaimana yang terjadi kini.

Akhirnya penduduk luar bandar (yang rata-ratanya Melayu Islam Sunni) kekal dibodohkan untuk terus memilih wakil yang memastikan kehidupan mereka yang sedia susah kian menderita.

Maka tanpa adanya kebebasan bersuara sampai bila-bila demokrasi hanya proses menaikkan orang bodoh sebagai pemimpin. Sekali lagi saya ingin tegaskan, saya tidak merujuk Bung Mokhtar secara langsung mahupun tidak langsung.

Categories
NASIONAL

Gantung The Heat, Najib Razak mungkir janji wujud media bebas

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 22 DIS: Penggantungan akhbar mingguan The Heat oleh Kerajaan Pusat melanggar ikrar janji yang pernah dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mewujudkan kebebasan media di negara ini.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Berhad, Datuk A Kadir Jasin, berkata Kementerian Dalam Negeri mungkin terlupa bahawa Najib Razak ada membuat janji demikian sebelum ini seperti yang tertera di laman web rasmi 1Malaysia.

kadirjasinKatanya, ahli politik dan pegawai Kerajaan di Putrajaya tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam menangani serangan dari penulis blog sejak sedekad lalu.

“Serangan mereka terhadap penulis blog yang dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana membuat rasa ingin tahu orang ramai mengenai blog itu yang kemudiannya memberikan publisiti kepada blog berkenaan.

“Dan mereka tidak lama lagi mula untuk melayari internet untuk mencari apa kekecohan itu semua kira-kira. Banyak kemudian menjadi pengikut setia blog,” kata Kadir tulisan di blognya.

Katanya, penggantungan akhbar The Heat tanpa sebarang alasan konkrit, bukan tindakan proaktif kerana sesetengah akhbar semakin berkembang selepas digantung.

Mengambil contoh akhbar milik MCA, The Star dan Sin Chew Daily yang digantung penerbitannya pada 1987, kedua-dua akhbar berkenaan kini menjadi akhbar utama bacaan rakyat.

theheat“Bagi The Star dan Sin Chew, penggantungan meningkatkan profil dan jualan mereka apabila mereka kembali diterbitkan,” kata Kadir.

Akhbar mingguan The Heat dikatakan digantung penerbitannya berikutan laporan muka hadapan berkenaan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

The Heat dilancarkan September lalu digantung pada minggu ini selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada KDN.

“Sepanjang pengetahuan saya, Pejabat Perdana Menteri mempunyai ramai individu memerhatikan media untuknya, termasuk Kumpulan Tindakan Komunikasi (CAG),” kata Kadir.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

The Heat: Menunggu bukti Gred A dari KDN

Oleh: Edwin Michael

MEDIA di negara ini sebenarnya berada dalam persimpangan yang amat bahaya.

Mahu tak mahu harus mengikut hawa nafsu regim pemerintah dengan melaporkan hanya perkara yang baik belaka tentang regim pemerintah, demi menghasilkan imej Perdana Menteri yang positif tetapi palsu.

Agenda inilah yang dimainkan oleh media perdana di negara ini selama lebih 50 tahun. Tetapi jika media memilih untuk tidak bersubahat dengan regim pemerintah, maka media tersebut akan dihukum seperti apa yang terjadi kepada The Heat.

theheatSaya tidak berminat mengulas panjang tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini yang nyata bersifat autokratik serta gagal merentasi sempadan politik yang waras dan demokrasi.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah atas asas apa penggantungan The Heat ini dibuat?

Walaupun KDN memberikan satu alasan yang lapuk kononnya penggantungan The Heat adalah kerana syarikat penerbitan tersebut melanggar peruntukan termaktub di bawah permit percetakan, usaha membodohkan rakyat dengan alasan sedemikian adalah satu kegagalan epik KDN yang hanya mengaibkan diri sendiri.

The Heat menyiarkan artikel  perbelanjaan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penggunaan jet kerajaan oleh isterinya di kala rakyat derita menghadapi kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, akibat kabinet menteri yang lembik dalam menangani korupsi dan ketirisan (mohon kabinet menteri disuntik dengan Viagra politik).

Apabila diteliti penerbitan artikel berkenaan, nyata artikel tersebut ditulis berdasarkan fakta dan sumber yang betul.

Kini, beban bukti beralih kepada KDN yang diterajui oleh Menteri Gred A serta Pejabat Perdana Menteri.

Mohon KDN bekalkan bukti Gred A untuk membuktikan bahawa apa yang disiarkan dalam The Heat ini adalah fitnah belaka dan bersifat mahu mencemar “dua jasa baik” isteri Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia sebelum ini.

Andai kata KDN tidak berdaya untuk membuktikan The Heat salah, maka mohon pula isu ini dibawa ke Makmal Kaji Kos Sara Hidup Rakyat untuk mengkaji bagaimana perbelanjaan kabinet menteri dan isteri Perdana Menteri boleh dipotong demi survival ekonomi negara ini.

Jika ada menteri yang tidak suka cadangan ini, mohon jangan jadi menteri. Jika ada rakyat yang tidak tahan lagi ditipu oleh regim pemerintah, mohon jangan halang rakyat turun ke jalan raya!

* Dipetik dari The Malaysian Insider.

Categories
NASIONAL

The Heat: GERAMM gesa KDN mohon maaf, pakai baju merah hari Jumaat

SHAH ALAM 21 DIS: Gerakan Media Marah (GERAMM) menyeru agar pengamal media memakai pakaian merah setiap hari Jumaat sebagai simbol solidariti bantahan terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung mingguan The Heat.

Gerakan Media Marah (GERAMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata , kumpulan itu mahu melakukan kempen di laman media sosial Twitter selama satu jam sehari bermula Isnin dengan menggunakan hashtag #theheat dari jam 9.30 malam.

theheat“GERAMM menyeru semua pengamal media – termasuk penulis sambilan dan penulis kolum serta kakitangan-kakitangan syarikat-syarikat media – menyertai kempen kami mulai hari ini bagi membangkitkan isu pencabulan serius kebebasan media di negara ini.

“Teman-teman wartawan dan editor juga diseru agar memulakan kempen atas inisiatif sendiri mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.

“Kini, tiada hak untuk kita berdiam dan sudah tiba masanya kita semua bertegas membantah pencabulan seumpama ini,” kata sekretariat GERAMM.

GERAMM turut menuntut agar KDN membatalkan tindakan tindakan terhadap The Heat dan membenarkan akhbar mingguan itu beroperasi seperti biasa.

KDN turut didesak untuk memohon maaf secara terbuka kepada The Heat dan semua pengamal media serta pengguna media atas pencabulannya terhadap ruang kebebasan media selama ini.

EZY

Categories
NASIONAL

Petugas media perlu bangkit pertahan hak, boikot pemimpin berat sebelah

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 20 DIS: Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahari menyeru petugas media seluruh agensi bangkit mempertahankan hak dan memboikot liputan pemimpin kerajaan yang terus bertindak berat sebelah berkenaan laporan media.

Dalam satu kenyataan kepada media Hata memaklumkan, tekanan terhadap wartawan dan agensi media oleh kerajaan perlu dihentikan kerana teguran dalam bentuk tulisan adalah satu bentuk tugas utama akhbar dan wartawan.

hata wahari protes utusan 01“Saya ingin menyoal semua wartawan di Malaysia, sampai bila kita hendak membiarkan perkara ini berlaku dan adakah kita seperti selalu hanya melihat serta melaporkan sahaja apa yang berlaku.

“Sehubungan itu, saya menyeru wartawan, editor, pemilik media dan mereka yang berkenaan untuk melakukan tindakan sewajarnya iaitu dengan memboikot daripada membuat liputan terhadap kerajaan dan pemimpinnya kerana rekod kebebasan media mereka yang teruk.

“Mari kita bersama bersatu hati membuat demonstrasi besar-besaran dan memilih satu hari untuk tidak membuat liputan, kita kosongkan media atas talian, letakkan warna hitam dalam media atas talian, akhbar dan pelbagai media lain,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, penggantungan permit akhbar mingguan The Heat adalah satu lagi sejarah hitam dalam dunia kewartawanan Malaysia

The Heat digantung permit disebabkan penerbitan laporan yang menegur perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada muka depan akhbar berkenaan.

Hata yang juga bekas wartawan kanan di Utusan Malaysia yang dipecat menegaskan, wartawan perlu berhimpun secara aman di hadapan pejabat Perdana Menteri, Putrajaya untuk menyatakan bantahan terhadap kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya boleh memberi lagi tindakan ekstrem tetapi percaya tidak ramai wartawan yang sanggup melakukkannya kerana sebilangan besar wartawan di Malayia adalah wartawan dunia ketiga yang tidak sanggup berkorban untuk memperjuangkan nilai kewartawanan dan kebebasan media,”katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kesatuan wartawan kutuk langkah KDN gantung The Heat

KUALA LUMPUR 20 DIS: Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengutuk keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung akhbar mingguan, The Heat.

Presiden NUJ Chin Sung Chew, berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.

“Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah.

“Kita mesti memberi orang ramai akses kepada informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam,” kata beliau dalam SMS kepada Malaysia Kini.

NUJ Brighton Banner (low res)Ching turut berkata tindakan penggantungan oleh pentadbiran Najib ini sebagai langkah kurang bijak.

“Dengan ranking kebebasan media seperti yang dilaporkan Reporters Without Borders di tempat ke-145 pada 2013, tidak bijak untuk kerajaan mengambil tindakan sebegini ke atas media,” kata beliau.

NUJ dianggotai kira-kira 1,500 wartawan pelbagai media cetak di Semenanjung Malaysia dan menjadi perkumpulan petugas media terbesar di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Masjalizah Hamzah, berkata penggangtungan tersebut menunjukkan pentadbiran Najib tidak serius untuk menambah baik kebebasan bersuara.

“The Heat ialah mingguan baru. Ia masih cuba mencipta nama. Dalam soal itu, penggantungan ini tidak memberi impak segera kepada orang awam. Mereka (Orang awam) tidak akan merasainya.

“Tetapi mereka yang menyokong kebebasan media dan para wartawan akan merasainya. Jika ia boleh berlaku kepada The Heat, ia boleh berlaku kepada yang lain, kecuali mungkin Utusan Malaysia,” kata beliau.

Satu lagi keputusan penting penggantungan itu, menurut Masjalizah ialah ia menunjukkan betapa kecilnya perubahan hasil dari pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Akta itu dipinda pada tahun lalu untuk membenarkan pemilik akhbar mencabar keputusan menteri dalam negeri dalam menarik lesen serta menghapuskan keperluan untuk memperbaharui lesen setiap tahun.

“The Heat boleh cuba guna undang-undang untuk cabar, dan akan ambil masa berbulan-bulan.

cij-logo“Sehingga itu, kerosakan telah pun berlaku, dari segi kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Natijahnya, kerajaan masih berkuasa,” kata Masjalizah, seorang bekas wartawan yang kini menjadi aktivis.

Beliau berkata langkah betul ke hadapan, jika kerajaan benar-benar serius mengenai kebebasan media, ialah menarik kembali PPPA.

“Kerajaan telah memperlihatkan mereka melaksanakan kuasa akta tersebut secara terpilih. Ia bukan sebab ‘ramuan’ dalam artikel terlibat – adakah ia adil dan berdasarkan fakta – tetapi hanya pilihan politik.

“Banyak artikel oleh dari Utusan yang tidak memenuhi syarat-syarat ini tapi dibenarkan sesuka hati,” kata beliau dipetik Malaysia Kini.