Categories
SELANGOR

Selangor kutuk sebaran SMS palsu pembiayaan perumahan

Oleh: Lizawati Madfa

AMPANG 21 JAN : Kerajaan Negeri mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu kononnya terdapat program pembiayaan perumahan sehingga RM350,000 disediakan untuk rakyat Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad menyifatkan penyebaran maklumat palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp itu sebagai usaha terdesak pihak terbabit untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat (PR).

iskandar-samad-pink-01Kata beliau usaha jahat itu juga berkemungkinan untuk membangkitkan kemarahan rakyat, seterusnya menyebabkan rakyat kurang percaya dengan kredibiliti pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Mungkin mereka ini tidak dapat menyerang Kerajaan Negeri secara terus kerana tidak ada isu maka mereka terpaksa melakukan dengan cara ini bagi memperlekehkan kerajaan PR.

“Saya minta agar pihak berkenaan berhenti daripada terus bermain dengan perasaan rakyat yang kebanyakannya memang memasang impian memiliki kediaman sendiri,” kata Iskandar dalam sidang media di pejabatnya di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Sebaran SMS berkenaan menyatakan Kerajaan Negeri membuka peluang kepada semua rakyat Selangor memohon skim pembiayaan perumahan (Purse) tanpa faedah sehingga RM350,000.

Antara syarat yang dinyatakan ialah pemohon berusia antara 18 hingga 45 tahun, berpendapatan RM 7,000 dan ke bawah, tidak memiliki sebarang unit kediaman di Selangor serta keutamaan akan diberi kepada pemohon yang sudah berkahwin.

Turut disertakan dalam rantaian SMS terbabit ialah alamat serta nombor telefon Mohd Jamil Abdul Rahim yang sebenarnya bertugas sebagai pegawai khas kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Sehubungan itu, Mariah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III meminta agar rakyat berhati-hati dengan sebarang sebaran maklumat program yang tidak pasti mana sumbernya.

“Jika mendapat apa-apa maklumat, mohon rakyat dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Pusat Khidmat DUN PR atau boleh semak di laman web Kerajaan Negeri,” kata Mariah.

Semalam, pegawai khas Khalid Samad membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam berhubung penyebaran SMS dan Whatsapp palsu berkenaan kira-kira pada jam 11.40 pagi.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.