Categories
KENYATAAN MEDIA

Hentikan sebar maklumat palsu budaya politik kuno

Oleh: Fahmi Fadzil

Akhir-akhir ini, kita sering disajikan maklumat palsu yang disebar melalui media sosial dan aplikasi seperti Whatsapp.

Ini termasuklah berita palsu yang kononnya diterbit agensi Bernama yang mengatakan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, dan yang terkini beberapa tweet yang kononnya dikeluarkan oleh YB DS Anwar Ibrahim (berkaitan MH17), YB Azmin Ali (berkaitan isu Menteri Besar Selangor dan perletakan jawatan beliau), dan YB Rafizi Ramli (berkaitan MH17).

Kesemua berita dan tweet ini adalah palsu dan melanggar etika sebaran maklumat. Malah ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 469 Kanun Keseksaan yang, jika disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 3 tahun.

Saya menggesa semua pihak dalam politik Malaysia supaya menghentikan penggunaan taktik kotor sebegini. Ia cuma menampakkan ketandusan idea, moral dan etika, serta menampakkan kelangsungan politik kuno dan lapuk yang sepatutnya sudah lama ditamatkan.

Pada masa yang sama, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) perlu lebih agresif dan proaktif dalam memastikan isu pemalsuan maklumat sebegini dibanteras, terutama yang melibatkan pimpinan politik.

Saya difahamkan kes tweet palsu yang dikait dengan YB N Surendran yang dilapor kepada PDRM 5 Jun 2014 lalu telah diserah kepada pihak SKMM.

Namun cukup mendukacitakan kerana hingga ke hari ini SKMM masih belum menghubungi YB Surendran. SKMM perlu lebih bertanggungjawab dalam hal ini, dan tidak mendiskriminasikan kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya juga minta pihak PDRM & SKMM untuk memberikan maklumbalas terkini mengenai insiden penggodaman telefon pimpinan Pakatan Rakyat yang sering berlaku, akhir sekali sewaktu kempen PRK DUN Kajang bulan Mac lalu.

20140723-113045-41445028.jpg

20140723-113044-41444855.jpg

20140723-113044-41444951.jpg

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi KEADILAN

Categories
SELANGOR

SMS palsu: Istana, MB boleh buat laporan polis

Oleh: NAZLI IBARHIM

SHAH ALAM, 9 JUL: Pihak tidak bertanggungjawab mencipta laporan palsu Menteri Besar Selangor meletak jawatan boleh dikenakan tindakan jika pihak terbabit membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan itu boleh dibuat oleh pihak yang dikaitkan dalam laporan iaitu Menteri Besar, Istana Selangor dan agensi berita, BERNAMA.

PALSU“Tindakan boleh diambil pada pihak tak bertanggungjawab cipta dan sebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengaitkan istana itu,” kata Nik Nazmi ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Nik Nazmi turut menggesa orang ramai tidak mudah percaya sebarang khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial dan SMS.

“Orang ramai kena ambik daripada sumber rasmi yang sah sahaja, selain daripada itu kena kaji dahulu kesahihannya,” katanya.

Terdahulu, satu laporan palsu perletakkan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tersebar luas di laman sosial.

Laporan palsu yang kononnya dikeluarkan BERNAMA itu turut mengaitkan istana Selangor dan Abdul Khalid selepas itu tampil memberi penjelasan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor kutuk sebaran SMS palsu pembiayaan perumahan

Oleh: Lizawati Madfa

AMPANG 21 JAN : Kerajaan Negeri mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu kononnya terdapat program pembiayaan perumahan sehingga RM350,000 disediakan untuk rakyat Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad menyifatkan penyebaran maklumat palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp itu sebagai usaha terdesak pihak terbabit untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat (PR).

iskandar-samad-pink-01Kata beliau usaha jahat itu juga berkemungkinan untuk membangkitkan kemarahan rakyat, seterusnya menyebabkan rakyat kurang percaya dengan kredibiliti pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Mungkin mereka ini tidak dapat menyerang Kerajaan Negeri secara terus kerana tidak ada isu maka mereka terpaksa melakukan dengan cara ini bagi memperlekehkan kerajaan PR.

“Saya minta agar pihak berkenaan berhenti daripada terus bermain dengan perasaan rakyat yang kebanyakannya memang memasang impian memiliki kediaman sendiri,” kata Iskandar dalam sidang media di pejabatnya di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Sebaran SMS berkenaan menyatakan Kerajaan Negeri membuka peluang kepada semua rakyat Selangor memohon skim pembiayaan perumahan (Purse) tanpa faedah sehingga RM350,000.

Antara syarat yang dinyatakan ialah pemohon berusia antara 18 hingga 45 tahun, berpendapatan RM 7,000 dan ke bawah, tidak memiliki sebarang unit kediaman di Selangor serta keutamaan akan diberi kepada pemohon yang sudah berkahwin.

Turut disertakan dalam rantaian SMS terbabit ialah alamat serta nombor telefon Mohd Jamil Abdul Rahim yang sebenarnya bertugas sebagai pegawai khas kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Sehubungan itu, Mariah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III meminta agar rakyat berhati-hati dengan sebarang sebaran maklumat program yang tidak pasti mana sumbernya.

“Jika mendapat apa-apa maklumat, mohon rakyat dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Pusat Khidmat DUN PR atau boleh semak di laman web Kerajaan Negeri,” kata Mariah.

Semalam, pegawai khas Khalid Samad membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam berhubung penyebaran SMS dan Whatsapp palsu berkenaan kira-kira pada jam 11.40 pagi.
EZY

Categories
SELANGOR

SMS ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ palsu, fitnah

Oleh: Naeem Raffi

KLANG 17 DIS : Pemberian baucer RM200 untuk Program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ untuk anak Selangor yang disebar luas dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi ‘Whatsapp’sejak semalam adalah palsu.

Justeru, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berharap orang ramai khususnya ibu bapa tidak terpengaruh fitnah yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini SMS tidak bertanggungjawab yang sengaja menyusahkan dan mengelirukan semua pihak selain mengecewakan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Kesannya, semua 56 Pusat Khidmat DUN dan Pejabat Ahli Parlimen dihujani panggilan daripada rakyat berhubung dakwaan pemberian baucer itu,”katanya.

SMS-PALSU

Sejak semalam, SMS pemberitahuan pemberian baucer RM200 untuk membeli barangan keperluan sekolah kononnya dari Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, disebar luas.

Dengan menetapkan syarat penerima dari kalangan murid darjah satu hingga tingkatan enam atas hanya perlu membawa kad pengenalan dan hadir bersama ibu bapa (pengundi Selangor) boleh menebus baucer itu di semua pasar raya kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia.

SMS itu juga memaklumkan, baucer boleh diambil di seluruh Pusat Khidmat DUN mulai 16 Disember hingga 28 Disember depan.

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Selat Klang membuat laporan polis kira-kira jam 11.00 malam semalam selepas menyedari kewujudan SMS fitnah itu.

Selangor Kini difahamkan,PKM Selat Klang menerima lebih 3,000 panggilan telefon dari orang ramai serata Selangor dalam tempoh kurang 24 jam yang bertanya pemberian baucer itu.

“Terdapat beberapa keraguan yang jelas dalam sebaran SMS tersebut. Kerajaan Selangor tidak menggunakan istilah ‘Pengajian Tinggi’ sebaliknya ‘Pendidikan Tinggi’ untuk portfolio pendidikan.

hari-guru-halimah-pc-01“Nombor telefon pegawai  dalam SMS itu juga tidak tepat kerana ia nombor pegawai PKM DUN Selat Klang,bukannya nombor pegawai dari pejabat Exco Pendidikan.

“Kerajaan Selangor tidak pernah membuat pengumuman rasmi pemberian baucer RM200. Sebaliknya hanya memberi baucer RM30 untuk keluarga berpendapatan rendah untuk membeli kasut sekolah anak-anak di BATA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di PKM DUN Selat Klang di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin dan pegawai PKM DUN Selat Klang.

Sementara itu, Manivanan Gowin yang juga merupakan seorang peguam menyifatkan penyebaran SMS fitnah itu  bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

“Seolah-olah ia dari Kerajaan Selangor. Perkataan kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia sengaja dikaitkan kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat anti dan boikot kepada pasar raya yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat.

“Kebetulan hari ini PKM Selat Klang serahkan baucer (RM30-Kasut Sekolah) dan sebaran SMS pula semalam. Jadi, nampak sangat ia dirancang rapi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan Dr Halimah,” kata Manivanan.

EZY FZL