Categories
SELANGOR

Manivanan seru contohi akhlak Nabi Muhammad SAW

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KLANG ,19 JAN: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan menyeru masyarakat Malaysia mencontohi akhlak dan peribadi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan baginda.

Manivanan berkata, keperibadian dan akhlak mulia yang dimiliki Nabi Muhammad SAW itu juga wajar dijadikan model kepada semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Adun kapar G Manivanan“Lahirnya Nabi Muhammad SAW ke dunia adalah satu rahmat untuk sekalian alam. Justeru, apa yang saya harapkan supaya Maulidur Rasul ini akan dapat memupuk kesedaran kita untuk sentiasa berusaha membaiki akhlak dan mengukuhkan jati diri sebagai seorang manusia serta mengadaptasi nilai baik peribadi baginda dan ajarannya dalam kehidupan ini,” katanya.

Manivanan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang di sini, hari ini.

Manivanan dalam ucapannya turut mengambil kesempatan supaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini mengamalkan sikap saling berkasih sayang.

“Baginda sangat menganjurkan sikap mengasihi dan berbuat baik sesama manusia sebab itu diingati bukan sahaja sebagai pemimpin agama Islam tetapi juga sebagai anak, suami, ayah serta ketua negara yang mempamerkan peribadi mulia juga terpuji sehingga digelarkan Al-Amin kerana sikap jujur yang ditunjukkan,” katanya.

Sementara itu dianggarkan 1,600 orang daripada 37 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan awal pagi tadi yang mewakili masjid, surau dan pejabat kerajaan serta swasta sekitar kawasan Selat Klang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.