Categories
SELANGOR

MB : Selangor amal konsep ‘bawah ke atas’ elak pembaziran

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 19 JAN: Langkah Selangor mengadakan dialog bersama pemimpin masyarakat tempatan sebelum memulakan sesuatu projek pembangunan berjaya menyelamatkan dana rakyat disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Hal itu berjaya dilakukan apabila kerajaan negeri dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat setempat bersama anggaran kos sesuatu projek yang akan dilaksanakan melalui program dialog yang diadakan.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata konsep ‘bawah ke atas’ itu didapati berjaya memastikan setiap sen wang yang diperuntukkan sampai kepada golongan sasaran.

“Kita ada program daripada ‘bawah ke atas’ bukannya ‘atas ke bawah’ bermakna bermula di peringkat akar umbi ke kerajaan negeri.

“Projek pembangunan daripada atas ke bawah rupanya menyebabkan duit RM100 yang ingin diturunkan ke kampung bila sampai ke kampung nilainya tidak sampai RM50 sebab 50 peratus hilang dalam proses terbabit.

“Oleh sebab itu, kita amal cara ‘bawah ke atas’ dan dengan cara itu rakyat tahu nilai dan kos sesuatu projek,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pemasangan Lampu Jalan LED Tenaga Solar di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Tiga Ijok, di sini, semalam.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor di samping berusaha mengurangkan birokrasi dalam pentadbirannya juga berusaha memastikan setiap sen yang dibelanjakan tidak diselewengkan dan memberi impak maksima kepada rakyatnya.

Ketua Kampung Kuala Langat 04Pendekatan itu juga selaras dengan konsep ‘value for money’ yang sering ditekankan Abdul Khalid sebelum ini.

Bagi menjayakan konsep itu, kerajaan negeri kerap mengadakan dialog bersama pemimpin masyarakat bagi mendengar cadangan mereka sebelum sesuatu projek dijalankan.

Lebih pada itu, masyarakat tempatan dengan diketuai Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dengan pemantauan Penghulu juga berpeluang mengemukakan kertas cadangan mereka serta anggaran kos sesuatu projek kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, pada majlis sama, Abdul Khalid sempat meninjau 20 lampu solar LED yang dipasang di lokasi dikenalpasti berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya dan jenayah ragut.

Lokasi terbabit membabitkan beberapa jalan di Kampung Ijok dan Kampung Holmwood.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad, berkata lampu jalan yang dikatakan pertama seumpamanya di negara ini adalah sumbangan syarikat Rui Guang Electronic Ltd sebagai memenuhi tanggungjawab korporat syarikat itu terhadap masyarakat di Ijok.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.