Categories
SELANGOR

MDHS semak sistem longkang atasi banjir kilat

HULU SELANGOR 13 JAN : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan menyemak semula kesemua sistem longkang di kawasan Bukit Sentosa bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku terutamanya ketika hujan lebat.

Yang Dipertuanya, Tukiman Nail berkata, pihaknya juga akan terus mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab membuat longkang di kawasan terbabit.

MDHSKatanya, reka bentuk longkang dibuat JKR sementara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) jua mempunyai sistem takungan air yang akan dilepaskan secara terkawal.

“Dahulu kawasan kedai yang dibangunkan mempunyai longkang sendiri tapi apabila ada pembangunan perumahan, longkang terpaksa dikongsi bersama hingga menyebabkan risiko banjir dan ini perlu disemak.

“Kita akan dapatkan perkembangan mengenai longkang tersebut dan saya minta ia dibuat memandangkan ia merupakan kawasan jalan utama,” katanya yang ditemui di Majlis Kesyukuran Kemenangan Perumahan Daisi pada Program Indah Persekitaran 2013.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah banjir yang sering berlaku di Jalan Meranti 2A, Bukit Sentosa di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil perbincangan MDHS dengan pihak pemaju, masalah banjir itu didapati berlaku kerana longkangnya yang terlalu kecil hingga menyebabkan air melimpah memasuki longkang di kawasan itu.

“Sebenarnya longkang yang ada itu merupakan longkang tadahan sahaja.

“Sekarang, kita berjaya kenal pasti masalah, maka kita akan minta pemaju untuk ambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah itu,” katanya lagi dipetik Sinar Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.