Categories
NASIONAL

Ambiga : Perkauman di Selangor dan Pulau Pinang, strategi tumbangkan PR?

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 FEB: Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga mempersoalkan mengapa sejak Pakatan Rakyat (PR) mula mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada 2008, isu perkauman serta sentimen keagamaan menjadi semakin hangat hingga mampu menimbulkan perasaan tidak selesa dalam kehidupan masyarakat di dua negeri itu.

Beliau berkata, kerisauan itu sama seperti pernah disuarakan Pengarah Starategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebelum ini.

“Saya selalu memikirkan persoalan ini, mengapa perkara ini sering terjadi di Selangor dan Pulau Pinang. Kita harus berhati-hati terhadap siapa yang sering menimbulkan masalah ini,” katanya pada Forum Langkah Kajang yang diadakan di Hotel Empire Subang, baru-baru ini .

DSC_9924Ambiga berkata, beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan sengaja dicetuskan bagi menghuru-harakan kehidupan harmoni masyarakat dan pentadbiran di dua negeri terbabit.

“Saya tidak menyuruh masyarakat Kajang mengundi calon tertentu tetapi ini adalah peluang mereka. Saya minta pengundi Kajang bersuara bagi menolak politik sempit perkauman dan memainkan sentimen keagamaan seperti ini.

“Pendirian kita mahu pilihan raya yang bebas dan adil. Mereka masih tidak faham rakyat menolak politik kotor dan jika masih guna kaedah sama, tolak mereka,” katanya.

Ambiga berkata, memilih pihak yang mengamalkan politik perkauman bakal memberikan isyarat salah kepada pihak tidak bertanggungjawab bahawa kononnya pengundi Kajang merestui amalan politik menghina kaum lain.

DSC_0075Sejak PR menerajui Selangor dan Pulau Pinang, beberapa NGO pro Umno dilihat sering bertindak keterlaluan dengan mengaitkan kebanyakan isu dengan perkauman.

Salah satu tindakan berbahaya NGO pro Umno, seperti kejadian terbaru menyembelih ayam bagi tujuan melumurkan darah ayam ke atas poster yang memaparkan gambar pemimpin DAP dengan disertakan kata berbaur perkauman.

Selain itu, mereka juga sanggup menawarkan hadiah RM1,200 kepada sesiapa yang boleh bertindak menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, namun sehingga kini masih tidak ada sebarang tindakan pihak berkuasa bagi mengatasi isu membabitkan NGO pro Umno berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.