Categories
NASIONAL

Anwar: MCA juga mahu tunjuk hero, tiru perangai Umno

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG 19 FEB: Umno bukan sahaja gagal menunjukkan contoh etika berpolitik yang baik kepada rakan komponen mereka dalam Barisan Nasional (BN), malahan amalan politik negatif Umno itu sudah mula mempengaruhi gaya dan corak berpolitik pemimpin lain dalam BN.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara pemimpin parti komponen BN yang dimaksudkan adalah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai yang sebelum ini beliau kenali sebagai seorang pemimpin yang tidak gemar melakukan serangan terhadap beliau secara membuta tuli.

Anwar“Kita bercakap tentang soal dasar, harga barang, isu kaum, peranan Pakatan Rakyat (PR), masalah air iaitu masalah dasar dan masalah rakyat tetapi apa yang diceritakan dalam kempen Umno adalah seks, agen Amerika. Bukan setakat Umno, MCA pun dah tumpang sekaki.

“Saya kenal Presiden MCA ini tak pernah kasar sebelum ini tetapi nak tunjuk hero pada Umno agaknya dia juga dah kasar macam Umno, datang-datang dia kata Anwar terlibat dalam operasi lalang pada 1987.

“Salah Anwar lagi. 1987, Menteri Dalam Negeri (Tun) Dr Mahathir, Perdana Menteri juga Dr Mahathir tetapi tidak berani disentuh orang yang buat penangkapan itu. Saya juga salah lagi,” kata Anwar dalam program ceramah di Kampung Sungai Kantan di sini, Isnin lalu.

Kata Anwar lagi, Umno parti utama BN yang dianggotai Melayu beragama Islam sepatutnya menunjukkan etika berpolitik yang sihat untuk dicontohi parti lain dalam BN.

Umno juga dilihat semakin hilang arah apabila lebih gemar menjawab isu dasar mementingkan kebajikan rakyat yang diketengahkan PR dengan menggunakan sentimen perkauman, serangan peribadi dan fitnah bagi mengaibkan lawan politik mereka.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau amat lega apabila majoriti rakyat tidak terjebak dengan sindrom otak beku kononnya hanya BN yang mampu mentadbir negara yang cuba disebarkan ke dalam pemikiran masyarakat berbilang kaum negara ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.