Categories
NASIONAL

SAMM: Jauhi hasutan perkauman pecah keharmonian

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 FEB : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk keras usaha berterusan Umno yang seolah-olah sengaja bermain sentimen perkauman dengan mengambil kesempatan atas isu yang langsung tiada kaitan.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata tindakan Umno itu juga menunjukkan parti berkenaan kini semakin lemah hingga sanggup menimbulkan perbalahan kaum.

sammKatanya, respon penyokong Umno yang hadir berdemo dengan parang dan hasutan jelas merupakan antara cubaan menimbulkan kebencian kaum.

“Contohnya, aksi demo kangkung yang memperlihat kelemahan seorang Perdana Menteri, langsung tiada kaitan dengan penghinaan agama dan bangsa, begitu juga dengan video dihasilkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Tidak mengapalah, nilai perpaduan yang diterap dengan baik oleh Pakatan Rakyat (PR) pasti menjadikan rakyat tidak terpedaya dengan helah perkauman sepertimana Teresa Kok cuba dijadikan ‘kambing hitam’,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Edy menggesa pihak berkemahiran supaya menyiarkan semula video yang diterbit Teresa Kok dengan sarikata berbahasa Melayu.

“Ini penting agar semua pihak memahami bahawa satira politik yang ditonjolkan tiada unsur penghinaan terhadap agama dan bangsa lain khususnya Islam dan Melayu.

“Lagipun, apa salahnya kelemahan pemerintah itu ditonjolkan dalam bentuk satira selagi pihak kerajaan masih sombong dan bongkak tidak akui kelemahan diri,” katanya.

cat teresa kokDalam perkembangan lain, Edy mengutuk keras perbuatan melempar bangkai ayam dan menabur cat merah di pejabat Teresa Kok, dipercayai bagi menakut-nakutkan Naib Presiden DAP itu supaya membuat permohonan maaf.

“SAMM menegaskan bahawa Teresa tidak harus tunduk kepada tekanan ini kerana rakyat yang celik perpaduan tetap menjaga keharmonian negara.

“Hanya segelintir yang ‘sakit’ sahaja tergamak ingin melihat rusuhan antara kaum berlaku,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.