Categories
SELANGOR

MB : Isu kakitangan kontrak PKNS tidak jejas peluang PKR menang PRK Kajang

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 FEB : Isu penamatan kontrak lebih 20 kakitangan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menjejaskan peluang PKR untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat akan lebih yakin dengan pentadbiran telus yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, keputusan menamatkan kontrak perlu dilakukan atas nama integriti Walaupun bakal menghadapi PRK Kajang.

DSC_9768“Tetapi rasanya penduduk Kajang lagi suka kerana wang negeri dapat dijimatkan. Bukan sahaja rakyat Kajang tetapi seluruh rakyat Selangor pasti suka kerana kita lakukan tindakan telus,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menjelaskan penamatan kontrak 22 kakitangan PKNS Holdings adalah selaras dengan dasar Integrity Pact PKNS selain dapat menjimatkan kos operasi RM7 juta setahun.

Katanya, tindakan itu juga diambil ekoran terdapat pertindihan tugas dan tanggungjawab antara kakitangan berstatus kontrak dengan tetap.

pkns-logoPada masa sama, Abdul Khalid menolak tuduhan sesetengah pihak bahawa beliau kejam dan tidak berhati perut dengan tindakan berkenaan.

“Kalau kejam tidak ada antara mereka yang dapat sehingga RM60, 000. Kita juga pastikan segalanya dilakukan ikut prosedur, jika tidak mereka boleh bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.