Categories
SELANGOR

MB: Tender jambatan ke-3 Klang dikeluar Mac ini

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 24 FEB : Tender Projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang merentasi Sungai Klang akan dikeluarkan Mac ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kos pembinaan masih seperti yang diumumkan iaitu sebanyak RM300 juta.

pemenang rekabentuk jambatan klang 01Katanya, bagaimanapun, mengikut tender, jumlah itu dibuka sehingga RM500 juta selepas mengambil kira struktur jalan yang akan disambungkan dengan jambatan itu nanti.

“Kita akan umumkan bila projek itu selesai selepas tender siap,” katanya dalam sidang media selepas perasmikan perhimpunan bulanan, di sini.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang menggunakan RM300 juta daripada rizab negeri bagi melaksanakan projek itu.

Jambatan sepanjang dua kilometer termasuk jalan penghubung dengan enam korong itu bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan jambatan sedia ada.

Sebelum ini, Kerajaan Umno-BN berjanji untuk membina jambatan ketiga ini pada tahun 2008 tetapi tidak menunaikannya walaupun majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu sudah dilakukan.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek itu dan menuntut kos pembinaannya daripada kerajaan persekutuan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.