Categories
SELANGOR

Nurul Izzah: BN tiada calon di DUN Kajang, bukti semakin goyah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 17 FEB: Kegagalan Barisan Nasional (BN) mengumumkan sebarang nama untuk Pilihan Raya Kecil DUN Kajang menunjukkan kesepakatan dalam BN kian rapuh kerana terdapat tarik menarik antara Umno dan MCA untuk siapa layak bertanding.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata keadaan ini disebabkan fahaman parti komponen BN dalam gabungan parti itu berteraskan perkauman sehingga menyebabkan tidak dapat mewujudkan kesepakatan bersama.

Nurul-IzzahKatanya, komponen BN juga gagal mencapai penyelesaian dalam banyak isu disebabkan Umno lebih gemar menggunakan isu perkauman sebagai senjata yang menimbulkan rasa tidak senang parti komponen BN lain.

“Keadaan ini berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR), walaupun terdapat parti mempunyai majoriti anggota daripada sesuatu kaum tetapi idelogi perjuangan berteraskan perjuangan menuntut keadilan untuk semua.

“Justeru itu kita mengharapkan agar PKR, PAS dan DAP terus menggarap kerjasama erat walaupun diasak berterusan oleh parti yang belum bersedia memutuskan calonya di PRK Kajang,” kata Nurul Izzah ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PRK DUN Kajang akan dijadikan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, ia juga adalah sebahagian usaha untuk menangkis isu perkauman yang kini menjadi agenda utama Umno-BN.

PRK DUN Kajang akan berlangsung, pada 23 Mac ini sementara pembuangan undi awal akan dibuat pada 19 Mac ini.

Kerusi DUN Kajang kosong apabila ADUN sebelum ini, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan beliau, pada 27 Januari lalu.

Seramai 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK berkenaan, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.