Oleh : AFIX REDZUAN
PUCHONG, 22 FEB: Bebanan penduduk Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Putra Perdana yang selama ini terpaksa membayar bil air tinggi sejak hampir tiga tahun lalu dijangka berakhir selepas Kerajaan Negeri bersetuju membaik pulih masalah paip pecah di kawasan berkenaan.
Kerja baik pulih yang menelan belanja sebanyak RM792,170 dibawah Projek Baikpulih Negeri Berkebajikan (Ceria) akan ditanggung tiga pihak iaitu Kerajaan Negeri, penduduk dan pemaju.
Kerajaan Negeri akan menanggung kos baik pulih sebanyak 60 peratus manakala penduduk akan menanggung 30 peratus bayaran pada jumlah RM279,000 dan selebihnya disumbangkan oleh pemaju.
Exco Perumahan Selangor, Iskandar Abdul Samad yang melawat tapak projek memaklumkan, kerja-kerja baik pulih sudah selesai 40 peratus dan dijangka siap pada 14 Julai tahun ini.
“Pihak pangsapuri telah dikenakan caj sehingga hampir RM700,000, Ia disebabkan paip yang lama di kawasan mereka telah bocor.
“Akibatnya air telah mengalir ke dalam tanah sedangkan mereka tidak gunakan.
“Setelah kita bincangkan termasuk di peringkat Kerajaan Negeri, kita bersetuju utntuk membaik pulih kawasan ini menggunakan dana program Ceria,” katanya kepada media.
Projek baik pulih paip ini melibatkan 900 unit rumah daripada 22 blok bangunan.
Jelas Iskandar, dengan peruntukkan RM13 juta untuk program Ceria tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerja baik pulih kritikal yang melibatkan lif, bumbung dan tangki air.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, sebanyak RM16.1 telah dibelanjakan untuk program Ceria melibatkan 104 pangsapuri di Selangor sehingga tahun 2013.
Untuk fasa keempat sebanyak 50 permohonan telah diluluskan sementara 151 permohonan lain masih menunggu.
Tambah Adun Cempaka ini lagi, beliau akan mengemukakan cadangan di peringkat Mesyuarat Exco supaya program khusus baik pulih lif diwujudkan memandangkan ia melibatkan peruntukan yang besar.
EZY