Categories
NASIONAL

PAS tawar pengawal peribadi lindungi Teresa daripada ancaman

SHAH ALAM, 9 FEB : PAS akan menyediakan pasukan pengawal peribadi untuk melindungi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menerima ancaman berikutan penyiaran klip video Onederful Malaysia Tahun Baru Cina 2014 yang diterbitkannya, baru-baru ini.

Memetik portal The Star, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata PAS bersetuju untuk menghantar pasukan Unit Amal yang menjadi sukarelawan parti itu sebagai pengawal peribadi Teresa.

Beliau berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan berhubung perkara itu dan akan bertugas mengikut keperluan Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP.

Lim-Guan-Eng-1“DAP Wilayah Persekutuan dan PAS akan berhadapan dengan perkara itu. Teresa adalah pemimpin kami daripada DAP dan dia seorang wanita, jadi kita harus berhati-hati apabila berurusan dengan perkara itu.

“Kami mahu kakitangan daripada PAS untuk menjadi pengawal peribadi beliau kerana kita mahu orang Melayu melindungi Cina dan begitu juga sebaliknya. Inilah maksud Malaysia sebenar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bersama pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain sudah membuat tiga laporan polis berhubung tindakan biadap organisasi bukan kerajaan yang menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang menampar Teresa.

Pada 6 Februari lalu, badan yang digelar Majlis NGO Islam menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Teresa sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Mereka kemudiannya mencalit darah ke atas kertas rentang yang terdapat wajah Teresa dan pemimpin PR lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published.