Categories
SELANGOR

PKR: Umno ‘jilat ludah sendiri’ bila mula kempen di Kajang

Oleh : Lizawati Madfa

KAJANG 17 FEB : Lebih seminggu Umno menghentam PKR kononnya memulakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang di luar waktu kempen, akhirnya Umno seperti menjilat ludah sendiri apabila melakukan perkara sama.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, berkata kata-kata pemimpin Umno sebelum ini ternyata tidak relevan lagi ekoran tindakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin melakukan kempen dari rumah ke rumah semalam.

UMNO BN 55Katanya, tindakan Khairy itu membuktikan bahawa tiada salahnya untuk sesuatu parti politik memulakan kempen mendekati rakyat walaupun sebelum hari penamaan calon.

“Jadi tidak timbul isu kempen lagi kerana Khairy sendiri sudah turun padang menjalankan kempen untuk Umno dan saya mengalu-alukan itu.

“Walau apa pun PKR akan biarkan Umno dengan strateginya sementara kita akan tumpukan untuk menang seterusnya kukuhkan Selangor sebelum ke Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Hotel Oriental Crystal di sini, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin turut mempersoalkan tindakan Khairy yang bersungguh-sungguh menyatakan sokongan kepada bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang meluahkan hasrat untuk bertanding di PRK Kajang sebagai calon bebas.

PC PKR Kajang“Secara tiba-tiba Khairy lupa terus sikap anti-Umno yang sering dimainkan Zaid, bekas Umno dan juga bekas PKR, yang misinya dalam PRK Kajang adalah untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

“Nampak pelik tak? Persoalannya, adakah Umno di belakang Zaid untuk bertanding di Kajang.

“Jika benar, saya cabar Umno letak sahaja calon sendiri daripada menghantar orang lain,” katanya lagi.

Menjawab soalan lain, Saifuddin menolak dakwaan sebuah akhbar bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim enggan menandatangani surat perletakan jawatan yang tidak bertarikh untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar.

“Semuanya karut. Sumber yang boleh dipercayai hanyalah daripada pimpinan tertinggi PKR dan bukan dari sumber yang tidak bernama,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.