Categories
NASIONAL

The Heat kembali ke pasaran

SHAH ALAM 8 FEB: Akhbar mingguan The Heat yang digantung sementara penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak pertengahan Disember tahun lalu kembali diterbitkan minggu ini.

The HeatAkhbar terbitan Satria Kiara Sdn Bhd milik Kumpulan Media HCK itu mula masuk ke pasaran sejak Jumaat.

Dalam sebuah rencana muka depan, akhbar itu mengakui bahawa tindakan penggantungan itu menjejaskan sebahagian perancangannya tetapi memberi jaminan ia sama sekali tidak menghakis prinsip kewartawanannya.

Ia memberi jaminan akan terus menyuarakan isu-isu penyelewengan dan ketidakadilan serta usaha memecahbelahkan negara.

“Kami akan terus melakukannya dengan adil dan bebas,” kata rencana muka depan itu dipetik Astroawani.com

Ketua Pengarang The Heat, David Lee dalam lidah pengarangnya juga memberi jaminan tindakan penggantungan sementara itu tidak akan menjejaskan hala tuju editorial akhbar mingguan tersebut.

Dalam edisi sulung selepas penggantungan itu, The Heat menerbitkan sebuah rencana dua halaman merakamkan episod berkenaan “dalam konteks yang betul: bahawa media yang bebas adalah sebahagian daripada proses demokrasi.”

The Heat adalah satu daripada tiga penerbitan Kumpulan Media HCK yang turut menerbitkan mingguan bisnes, Focus Malaysia dan laman web berita, theantdaily.com.

heatjpgPada Dis 19, The Heat diberitahu tentang penggantungannya oleh Kementerian Dalam Negeri, dipercayai selepas menyiarkan artikel bertajuk “All Eyes On Big Spending PM Najib” di muka depan akhbar itu.

Selepas penggantungan itu, wartawan dan kumpulan hak asasi telah membentuk satu kumpulan perpaduan dipanggil Gerakan Media Mara (Movemement Media Marah) atau Geramm.

Pelbagai aktiviti, termasuk kempen media sosial, memakai t -shirt berwarna merah dan forum serta satu protest diadakan dalam tempoh kempen itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.