Categories
SELANGOR

Umat Islam disaran lakukan Solat Minta Hujan

SHAH ALAM 26 FEB : Umat Islam di Selangor disaran melakukan solat hajat atau istisqa khusus bagi memohon hujan berikutan kekuarangan air yang berlarutan menyebabkan beberapa empangan pada tahap membimbangkan.

Pendakwah, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, solat tersebut seeloknya dilakukan di kawasan yang terjejas.

hujan1“Menjadi sunat muakkad bagi orang Islam di sesuatu tempat yang telah lama tak turun hujan melakukan solat istisqa. Seeloknya penduduk di kawasan itu keluar beramai-ramai dan melakukan solat Istisqa di tempat terbuka.

“Solat istisqa kebiasaannya didahului dengan khutbah ringkas. Kemudian diteruskan solat dua rakaat dengan bacaan secara kuat serta diakhiri dengan doa yang bersungguh-sungguh,” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, solat istisqa lebih afdal diadakan pada waktu dhuha iaitu selepas jam 8 pagi.

“Dalam sejarah, Rasulullah SAW sendiri pernah mengimamkan solat istisqa bagi memohon hujan. Jadi, solat ini merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan umat Islam bagi mengatasi kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, masyarakat perlu menginsafi hikmah di sebalik fenomena ketiadaan hujan yang berpanjangan.

“Apabila hujan tidak turun, ALLAH SWT mengajar agar kita memperbanyakkan istighfar kepada-Nya. Perkara ini turut dijelaskan dalam al-Quran surah Nuh ayat 10-12.

“Selain daripada faktor fenomena alam, ketiadaan hujan juga berkait rapat dengan amalan kita. Mungkin ALLAH mahu menyekat sebentar hujan agar kita menginsafi kesalahan kita,” katanya.

Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak menyebabkan penyusutan paras air di empangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.