Categories
SELANGOR

Wabak denggi kini fenomena serantau

SHAH ALAM 28 FEB: Statistik peningkatan wabak denggi yang dicatatkan di beberapa buah negeri di Malaysia adalah fenomena serantau yang turut dihadapi negara jiran antaranya Singapura, Laos dan Vietnam.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi berkata, sebagai sebuah negeri maju, Selangor turut tidak terlepas daripada berdepan masalah itu berikutan kepadatan penduduk yang semakin bertambah.

daroyah aedesKatanya meskipun Selangor mencatat kes demam denggi tertinggi di negara ini pada tahun 2013, namun hanya 24 kematian direkodkan sepanjang tahun itu berbanding negeri-negeri lain.

“Walaupun kes yang dilaporkan rendah di negeri-negeri lain, namun angka kematian yang dicatatkan adalah jauh lebih tinggi dari Selangor.

“Sebagai contoh, Selangor mencatat kes denggi tertinggi sebanyak 23,852 kes, tetapi hanya 24 kes kematian direkodkan sepanjang tahun itu, berbanding Johor yang merekodkan angka kematian sama walaupun mereka hanya mencatatkan 4,828 kes denggi sepanjang tahun.

“Ini menunjukkan bahawa Selangor berjaya mengawal wabak tersebut dari menyebabkan terlalu banyak kematian,” katanya kepada Keadilan Daily.

Daroyah berkata draf statistik wabak denggi di seluruh dunia mula meningkat sejak Mei tahun lalu dan masih tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda penurunan sehingga kini.

Beliau dalam pada itu turut membidas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang mendakwa agensi Kerajaan Negeri tidak memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan sehingga menyebabkan peningkatan kes demam denggi di negeri itu.

Katanya Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memantau dan mengawal wabak itu daripada terus menular dengan memastikan tahap kebersihan negeri kekal di tahap terbaik.

“Kerajaan Negeri berharap agar rakyat di negeri ini dapat menjiwai budaya hidup sihat dan bersih seterusnya melaksanakan konsep yang kita gariskan iaitu kebersihan setiap hari, setiap masa dan dimana jua,” katanya lagi.

Bagi tahun ini sehingga 22 Februari 2014, sejumlah 8936 kes denggi yang disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di Selangor.

Daerah Petaling kekal merekodkan beban kes denggi tertinggi iaitu sebanyak (3989 kes), diikuti Hulu Langat (2438 kes), Klang (1115 kes) dan Gombak (954 kes).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.