Categories
SELANGOR

Jerebu: Banyak lokasi tidak sihat, banyakkan minum air masak

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 3 MAC: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan tempat di seluruh negara meningkat dengan tiga daerah di Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat.

Tiga daerah itu ialah Pelabuhan Klang dengan bacaan IPU 124; Banting (111) dan Shah Alam (106).

Indeks rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 3 petang juga menunjukkan Putrajaya dan Seri Manjung, Perak mencatat bacaan tidak sihat, masing-masing mencatat 103.

Exco Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata, jerebu itu akibat kebakaran terbuka di Sumatera dan beberapa tempat lain di Asia Tenggara, selain kesan kemarau di rantau ini.

“Pada masa ini terdapat longgokan jerebu di Sumatera dan ditiup angin Timur Laut menyebabkan berlaku jerebu di negara ini.

“Orang ramai dinasihati tidak melakukan aktiviti luar kerana boleh menjejaskan kesihatan dan banyak minum air masak,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.

Bacaan antara 0 dan 50 dikategori baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan lebih 300 berbahaya.

Bacaan di stesen pemantau IPU di Muar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Perai, Kuala Selangor dan Cheras di Kuala Lumpur juga mencatat bacaan IPU antara 90 hingga 100 iaitu sederhana tetapi menghampiri tahap tidak sihat.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.