Categories
SELANGOR

Exco : Kerajaan Pusat enggan kerjasama bina rumah mampu milik

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 MAC : Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak mahu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk didiami rakyat di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata pihaknya sudah tiga kali menulis surat kepada kementerian untuk menyatakan hasrat bekerjasama, namun tiada sebarang reaksi diberikan sehingga hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka berkata, masalah kediaman hanya mampu diselesaikan secara efisyen melalui perbincangan bersama keranamembabitkan kepentingan rakyat.

IMG_7355a “Saya lihat rumah adalah masalah negara kerana kebanyakan mereka yang membeli rumah di Selangor ini bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya, bahkan di Negeri Sembilan.

“Jadi, Selangor terpaksa menampung mereka yang bekerja di luar ini. Sebab itu, harus ada kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Negeri supaya masalah ini dapat selesai, tetapi tiada respon diberikan mereka,” katanya dalam slot Selangorku, di sini semalam.

Mengulas berkenaan rumah mampu milik, Iskandar berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor adalah pihak pertama yang muncul melancarkan kediaman jenis berkenaan pada harga antara RM42,000 hingga RM250,000.

Katanya, ia dilaksanakan melalui tiga polisi yang ditetapkan iaitu melalui anak syarikat negeri, mewajibkan pemaju swasta membina rumah mampu milik (polisi Rumah Selangorku) dan Kerajaan Selangor sendiri yang membina rumah mampu milik.

rumah mampu milik sept 2012 01“Kita janji ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk bina rumah mampu milik sendiri dengan menggunakan peruntukan negeri.

“Setakat ini, kita sedang membina 2,400 unit rumah di Sungai Sering, Hulu Kelang dan akan meningkat kepada 5000 unit, bahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga ada beberapa tempat yang sedang dibina serta mendapat kelulusan membina seperti di Kota Puteri, Hulu Selangor,” katanya.

Projek ‘Rumah Selangorku’ pertama yang akan dibina di Sungai Sering akan menggunakan RM100 juta daripada rizab Kerajaan Negeri berjumlah RM3 bilion.

Peruntukan RM100 juta itu digunakan sebagai modal pusingan membina rumah mampu milik tanpa perlu Kerajaan Negeri membuat pinjaman bank.

Projek pembangunan rumah mampu milik pertama itu akan dibangunkan di atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) pada keluasan kira-kira 22.26 hektar

Sebanyak 2,400 unit rumah akan dibina melalui projek perintis itu dengan keluasan 900 hingga 1,000 kaki persegi dengan menggunakan konsep pembinaan secara pasang siap (IBS).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.